Sabtu, 14 Ogos 2010

Penduduk pangsapuri terbakar diberi bantuan


SELANGOR KINI

PELABUHAN KLANG – Beberapa unit pangsapuri Pandamaran Jaya milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang terlibat dalam satu kebakaran dekat sini Selasa lalu bakal dibaik pulih Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri tidak lama lagi.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar ditemui memberitahu perkara ini diputuskan dalam Mesyuarat Exco Selangor Rabu lalu. Kerajaan negeri bersetuju meluluskan RM100,000 dana kecemasan untuk menanggung kos baik pulih bumbung dan unit pangsapuri terbabit yang musnah teruk.

Katanya kerja-kerja baik pulih dianggarkan memakan masa kira-kira sebulan dan ia hanya boleh dilaksanakan selepas laporan punca kebakaran dan kerugian dikeluarkan oleh pihak bomba dalam masa terdekat.

“Ini satu tragedi yang kita tidak boleh elakkan, saya diberitahu Jabatan Kebajikan Masyarakat yang terlibat dengan kebakaran ini ialah 16 keluarga tetapi daripada jumlah itu 5 sahaja orang Malaysia, yang lain semua orang asing, jadi warga asing itu penjagaan mereka akan diambil oleh majikan mereka tetapi warga tempatan terbabit kita akan bagi mereka duduk dalam Ahli Majlis Perbandaran Klang sementara kita akan baik pulih rumah di sana”.

Beliau berkata demikian kepada krew Tv Selangor yang ditemui ketika melawat kira-kira 35 keluarga pangsapuri PKNS yang ditempatkan sementara di Dewan Serbaguna Pandamaran Jaya dekat sini .

Sementara itu mangsa terbabit memberitahu banyak pihak tampil menghulurkan bantuan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), MPK dan Jabatan Kesihatan.

Bagi menjamin keselamatan harta benda mangsa kebakaran, Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dengan kerjasama pihak polis ditugaskan mengawal dan menjaga kawasan kejadian sepanjang 24 jam sejak Selasa lalu.

Tiada ulasan: