Ahad, 22 Ogos 2010

Mana saya sentuh mengenai DEB, soal Presiden MCA

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Dalam penjelasan selepas lebih seminggum Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menafikan beliau mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), sekali gus meminta hak dan kepentingan orang Melayu diketepikan khususnya soal pengagihan ekuiti.

Presiden MCA itu berkata beliau hanya menyentuh soal pembangunan di Malaysia, agar bukan satu kaum mendapat semua manakala kaum yang lain dinafikan.

“Mana saya sentuh mengenai DEB (Dasar Ekonomi Baru)... tengok ucapan saya, satu benda pun tak sentuh.

“Saya cakap terus terang, tetapi bagaimanapun penjelasannya, sebahagian orang Melayu tak akan boleh terima, semua seronok dengan agenda sendiri,” kata bekas Menteri Kesihatan itu.

“Saya minta siapa yang tak faham, tengok balik teks ucapan saya dalam laman web MCA pun ada, saya cuma cakap pasal pembangunan di Malaysia, bukan satu kaum dapat semua, (kaum) yang lain dinafikan, tak ada. Semua orang punya kepentingan bersama, untung sama-sama ada yang melatah,” kata beliau dalam temu bual bersama Berita Minggu hari ini.

Pelbagai pihak membidas Dr Chua ekoran ucapan dan resolusi yang diputuskan oleh kongres itu.

Dalam kenyataan baru-baru ini, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk

Seri Dr Rais Yatim mendakwa kenyataan Dr Chua supaya ekuiti Bumiputera dikurangkan adalah bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan negara.

Majlis Perundingan Ekonomi Melayu (Mapem) akan menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung resolusi Kongres Ekonomi Cina itu.

Anggota Mapem dan juga Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Selangor (DPMMS) Tan Sri Rozali Ismail berkata memorandum berkenaan akan dihantar bertujuan menyatakan pendirian Mapem berhubung resolusi dan kenyataan Presiden MCA yang tidak mengambil kira sensitivity masyarakat Melayu.

Ketika bercakap kepada pemberita di Ipoh semalam, Dr Chua berkata ucapan beliau yang menyentuh isu ekuiti Bumiputera dalam Kongres Ekonomi Cina Malaysia pada Sabtu lalu adalah sekadar pandangan dan bukannya satu bentuk desakan.

Katanya apabila diadakan kongres, maka pelbagai pandangan akan dikemukakan dan ia adalah untuk kepentingan negara dan bukan untuk sesuatu kaum saja.

Sambil berkata beliau tiada kuasa menghalang orang daripada bercakap, Dr Chua berkata beliau hanya katakan saya tidak bercadang merampas hak sesiapa dan hanya kemukakan pandangan bagaimana negara dapat berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

“... bagaimana yakinkan pelabur dan pertingkat pertumbuhan negara supaya dalam masa singkat, 10 tahun ini kita mencapai negara berpendapatan tinggi... itu saja, bukan saya nak hentam sesiapa,” katanya.

Berhubung soala MCA tidak takut berkongsi pandangan dengan DAP dalam perkara yang bawa keuntungan kepada masyarakat Cina, Dr Chua berkata, kalau pandangan berkaitan kepentingan Cina, itu bukan monopoli DAP.

“... jangan cakap DAP jadi jaguh masyarakat Cina. Kalau kita (MCA) sentuh kepentingan Cina, (orang) kata MCA macam DAP... jadi, orang Cina kata betullah DAP jaga Cina sebab (orang) Umno pun cakap macam itu.

“Jadi, MCA jaga siapa? Hujah macam ini sudah tak boleh pakai. Apa yang saya dan pemimpin MCA sentuh... macam DAP.

“Jadi, DAP cakap mereka jaga kepentingan Cina sebab tengok Umno pun cakap macam itu dan orang Cina pun percaya, MCA tak boleh pakai. Apabila kita (Barisan Nasional) tak dapat sokongan orang Cina, kita cakap sebab Cina tak suka MCA, tapi yang bunuh MCA siapa?” kata beliau.

Sehubungan itu, Dr Chua juga menyangkap pandangan tokoh sejarah yang berpendapat perbahasan mengenai isu Melayu-Cina kini mula kelihatan seperti kempen pilihan raya umum 1969 yang kemudian membawa kepada rusuhan kaum.

Dr Chua menyoal: “Anda ingat sekarang Cina dan Melayu gaduh?”

Sebaliknya kata beliau, pada masa sekarang rakyat lebih rasional dan mereka tahu bagaimana duduk semeja dan berhujah memberikan pendapat.

“Perdana Menteri pun hadir (kongres) dan tak merajuk, ada juga peserta Melayu. Saya lihat susah nak kerja macam ini.

“Semua suka kita berpura-pura sehingga sekarang pemuda Cina dan Melayu di bandar tak sokong kerajaan. Sekarang kita dibelenggu budaya pura-pura,” katanya.

Tiada ulasan: