Sabtu, 21 Ogos 2010

Korup CJ: Karpal mahu PM bertindak


kpal Oleh Rahmah Ghazali

KUALA LUMPUR: Pemimpin DAP bersuara lantang, Karpal Singh hari ini mendesak Perdana Menteri mengambil tindakan terhadap Ketua Hakim Zaki Azmi yang "korup" dan bersikap hipokrit dalam menghadapi tuduhan rasuah terhadap dirinya ketika menjadi peguam pada sekitar tahun 1980an.

Dalam serangan terbaru, Karpal mendakwa "beliau ada kelemahan peribadi" apabila Zaki memberi amaran bahawa beliau "tidak akan bersimpati dengan mereka yang terlibat dengan rasuah" seperti yang beliau sebut pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Mahkamah Persekutuan pada 11 Jun lalu.

Beliau berkata, beliau telah memfailkan aduan terhadap Zaki di bawah Kod Etika Hakim 2009 yang baru dibentuk, dihantar dengan tangan ke pejabat Ketua Hakim di Putrajaya.

Berdasarkan aduan ini, beliau berkata Yang Dipertuan Agong, atas nasihat perdana menteri, mesti melantik sebuah tribunal mengikut Klausa (4), Perlembagaan Persekutuan untuk memecat hakim itu dari pejabatnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat banyak kelemahan dalam perkara ini, kerana ketua hakim berhak untuk melantik ahli-ahli jawatankuasa untuk membolehkan siasatan dilakukan.

(Tapi) ketua hakim tidak boleh secara undang-undang menentukan sama ada terdapat merit dalam aduan terhadapnya," kata Karpal, merujuk kepada Seksyen 3 Kod Etika Hakim.

"Merujuk kepada Seksyen 5 Akta ini, adalah wajar seorang ketua hakim Malaysia yang bersara (mana-mana hakim Mahkamah Persekutuan termasuk dalam kategori ini) untuk membuat keputusan tentang aduan ini.

"Meskipun begitu, perkara ini harus diberi pertimbangan yang sewajarnya kerana "tidak ada sesiapa yang harus menjadi hakim dalam perkara yang melibatkan dirinya"," kata Karpal.

"Saman saya jika saya salah"

Menjelaskan mengenai aduan itu, Karpal berkata, kenyataan terbaru Zaki bercanggah dengan perbuatannnya sendiri kerana mendakwa secara terbuka melakukan rasuah (memberi sogokan) di Kuching pada 7 November 2008.

Memandangkan hal ini, ahli parlimen Bukit Gelugor itu berkata, Zaki secara sah melanggar Seksyen 7 (8) Kod Etika Hakim 2009 yang menyebut:

"Seorang hakim tidak harus mengambil sikap yang tidak layak sebagai seorang hakim atau yang membawa atau yang dianggap membawa nama buruk kepada pejabatnya sebagai hakim."

Karpal menambah, perbuatan ini juga melanggar Seksyen 8 (7) Kod Etika Hakim 2009 yang menyebut: "Seorang hakim tidak harus mengambil apa-apa tindak tanduk yang boleh mencemarkan nama baik di pejabatnya sebagai seorang hakim."

"Beliau (Zaki) harus menjadi orang terakhir untuk terlibat dalam majlis penyampaian anugerah itu. Dengan berbuat demikian, secara jelas beliau telah memperlihatkan kelemahan peribadi beliau yang boleh dikenakan tindakan disiplin di bawah Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2009.

Kalau tidak, beliau boleh dirujuk kepada sebuah tribunal di bawah Klausa 4, Artikel 125 Perlembagaan Persekutuan untuk tujuan memecat beliau dari badan kehakimanan," katanya.

Melancarkan satu lagi serangan terhadap Zaki, Karpal secara sindir berkata, Zaki sepatutnya menjadi "orang terakhir untuk memberi amaran kepada mahkamah tentang rasuah.

Beliau juga seorang yang korup, ia sangat mudah. Orang yang terlibat dengan rasuah tidak berhak untuk menuding jarinya kepada orang lain kerana empat jari lagi menuding ke arah dirinya sendiri.

Dan Karpal bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan jika dakwaan yang dibuat adalah sebaliknya. Beliau boleh menyaman saya, saya bersedia," ujar beliau.

Karpal, pada masa lampau pernah membuat beberapa percubaan mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dakwaan beliau tetapi SPRM tidak pernah melakukannya.

Beliau juga membuat laporan polis terhadap Zaki tapi tidak ada satu pun kenyataannya yang dibawa ke tengah.

"Tidak lebih dari itu. Tidak ada sesiapa yang mahu berjumpa dengan saya. Saya mencabar mereka untuk mengambil kenyataan saya tapi mereka tidak datang. Tetapi jika mereka mahu menahan saya, selalu mereka datang," katanya dengan berseloroh.

Zaki, pada satu segi, dilaporkan menafikan dakwaan terlibat dengan sogokan apabila beliau bertugas sebagai peguam pada sekitar tahun 1980an.

Tiada ulasan: