Rabu, 11 Ogos 2010

KMA: Hanya silap teknikal, isu peniaga Komtar selesai

GEORGE TOWN — Selepas “berperang” sejak Sabtu lalu kononnya peniaga Melayu dihalang daripada berniaga di Komtar sempena Ramadan, Dewan Perniagaan Komtar (KMA) berkata, perkara itu sebagai “kesilapan teknikal” dan para peniaga memulakan operasi mereka hari ini.

Naib Pengerusi KMA Mohamad Ghani Abdul Jiman juga menyalahkan media kerana salah tafsir isu berkenaan selain mendakwa Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah memanipulasikan kata-katanya untuk mencetuskan rasa tidak senang di kalangan peniaga.

Mohamad Ghani berkata, KMA membuat keputusan mengurangkan jumlah gerai kepada 25 selepas mempertimbangkan masalah kesesakan di kawasan konkos tingkat tiga Komtar.

“Saya menerima faks persetujuan daripada PDC pada pukul 6.45 petang 6 Ogos (Jumaat lalu), jadi saya tidak tahu bahawa bayaran kepada PDC harus diselesaikan pada Isnin (semalam),” ujarnya.

“Adalah amalan biasa membayar sewa pada akhir bulan,” kata beliau.

Mohamad Ghani berkata, kesemua 25 peniaga akan membuka gerai di tingkat tiga memandangkan mereka tidak berminat berniaga di tingkat empat.

Utusan Malaysia milik Umno membidas Ketua Menteri Lim Guan Eng dan kerajaan negeri Pulau Pinang dengan laporan muka depan semalam “Melayu masih ditindas”, yang membawa dakwaan bahawa pentadbirannya menghalang peniaga-peniaga Melayu daripada mengadakan gerai Ramadan.

Mohamed Ghani berkata, beliau akan mendedahkan semua surat yang diterima daripada PDC kepada polis supaya orang ramai dapat mengetahui kebenaran.

Lebih 100 peniaga diketuai Mohamed Ghani melancarkan protes di Komtar semalam.

PDC semalam menafikan dakwaan KMA dalam Mingguan Malaysia kononnya ia menghalang 27 peniaga Melayu daripada berniaga ketika Ramadan di Komtar.

“Merujuk kepada kenyataan akhbar (semalam), pihak PDC ingin memaklumkan bahawa kenyataan yang dilaporkan bahawa 27 peniaga Melayu dihalang berniaga di Bazar Ramadan di Komtar adalah tidak benar,” kata Pengurus Kanan Hartanah PDC Mohd Bazid Abdul Kahar semalam.

Bazid berkata, adalah tidak bertanggungjawab untuk memainkan sentimen perkauman bahawa ada penindasan peniaga Melayu hanya untuk menutup kegagalan KMA membayar sewa kepada PDC dan kegagalan menguruskan Bazar Ramadan mengikut peraturan ditetapkan.

Tiada ulasan: