Selasa, 17 Ogos 2010

Keputusan kes Azhar dikemuka ke DUN

BERNAMA


Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan mengemukakan keputusannya berhubung kedudukan ketua pembangkang di dewan itu, Datuk Azhar Ibrahim, yang didakwa melanggar peraturan dewan dengan menyebut perkataan disifatkan berunsur hasutan pada persidangan DUN November ini.

Speaker dewan Abdul Halim Hussain (kanan) memberitahu pemberita bahawa mesyuarat jawatankuasa itu hari ini telah mendengar penjelasan terperinci daripada Azhar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Penaga berhubung dakwaan itu.

Usul untuk merujukkan Azhar ke jawatankuasa itu dicadangkan oleh Jagdeep Singh (DAP-Datuk Keramat) yang mendakwa Azhar melanggar peraturan 46 DUN yang melarang mana-mana anggota DUN menyebut perkataan berunsur hasutan.

Ditanya bentuk tindakan yang akan dikenakan terhadap wakil Barisan Nasional itu, Abdul Halim berkata :"Kita tunggu sidang DUN nanti...biasanya ada yang hanya dikenakan amaran dan ada juga yang dikenakan penggantungan daripada menghadiri persidangan."

Abdul Halim berkata bahawa pada persidangan akan datang, setiap Adun akan diberi senarai perkataan bersifat hasutan agar mereka tidak menggunakannya ketika persidangan berlangsung kerana ia boleh menimbulkan kekecohan.

A
zhar (kiri), yang ditemui pemberita selepas memberi keterangan, berkata beliau masih boleh menghadiri persidangan DUN Pulau Pinang pada November ini.

"Setakat ini apa salah saya belum dituduh lagi. Tadi saya telah jelaskan kepada jawatankuasa apa yang saya maksudkan ketika persidangan lepas, saya tidak mengugut tetapi hanya sekadar nasihat dan beri peringatan sahaja supaya tidak menghina anggota Umno," katanya.

Azhar berkata peringatan itu bertujuan mengelak perkara yang tidak diingini berlaku seperti darurat dan menggunakan kuasa tentera untuk menjaga keamanan jika berlaku pemberontakan akibat daripada penghinaan terhadap orang Melayu.

"Saya telah melalui zaman itu, keadaan darurat, ia sangat memeritkan jadi saya beri ingatan supaya perkara itu tidak berulang lagi kerana ia sangat sukar," katanya.


Tiada ulasan: