Isnin, 9 Ogos 2010

Kenyataan Anwar berdasarkan fakta, kata Karpal

Hafiz Yatim

Peguam Karpal Singh menegaskan bahawa kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam affidavit terhadap pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan dan DPP Farah Azlina Latif - bahawa mereka berdua mempunyai hubungan intim dan maklumat penting telah bertukar tangan - bukanlah satu tuduhan semata-mata, tetapi merupakan fakta.

Katanya, Anwar telah memperolehi maklumat tersebut (mengenai hubungan intim tersebut dan kebocoran dokumen dan maklumat) dari sumber yang boleh dipercayai.

Oleh itu, tegasnya lagi, kenyataan dalam afidavit tersebut adalah kenyataan fakta.

Ianya bukannya hanya cakap-cakap tetapi satu fakta yang belum dibantah dalam dua afidavit balas, tegas Karpal.

Kedua-dua afidavit tersebut, yang dikemukakan oleh DPP Mohd Hanafiah Zakaria dan pegawai menyiasat Jude Blacious Pereira, menyangkal sebarang pengetahuan mengenai hubungan intim Saiful dan Farah dan juga menafikan dakwaan bahawa Farah dan Saiful tahu mengenai kertas siasatan dan dokumen-dokumen lain.

Karpal memohon kepada mahkamah dan hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah untuk menggunakan kuasanya memanggil Saiful dan Farah sebagai saksi.Oleh itu, beliau memohon hakim mendapatkan kebenaran bagi mencapaikan keputusan yang adil.

Dan ianya, sambung Karpal lagi, hanya boleh diperolehi dengan memanggil Farah dan Saiful sebagai saksi untuk mengetahui kebenarannya.

Oleh itu, tegas Karpal, bagaimanakah kebenaran boleh diketahui sekiranya kedua-dua mereka tidak dipanggil sebagai saksi.

Tiada ulasan: