Khamis, 12 Ogos 2010

KASE tetap mahu sistem saman ekor dimansuh


KUALA LUMPUR — Jawatankuasa Bertindak Kempen Anti Saman Ekor (KASE) walaupun menyambut baik keputusan Kabinet menggantung sementara tindakan menyenarai hitam pemilik kenderaan yang menerima noti saman ekor, tetapi pihaknya tetap mahu sistem semasa dimansuhkan sama sekali.

Sambil menyifatkan keputusan semalam sebagai sebagai kemenangan awal, Pengerusi KASE Datuk Mahfuz Omar lega dengan tindakan yang membolehkan ribuan pengguna kenderaan memperbaharui cukai jalan, namun tetap bersikap skeptikal.

“Persoalannya, bagaimana pula dengan kenderaan yang cukai jalan tamat selepas 28 Februari 2011?” ujar beliau ketika perbualan telefon bersama The Malaysian Insider.

Mahfuz berkata, KASE tetap akan memperjuangkan perkara ini sehingga sistem senarai hitam dimansuh terus.

“KASE akan terus buat pemantauan dan sebarang tindakan yang dibuat kerajaan haruslah mematuhi undang-undang negara,” katanya.

Beliau mendedahkan KASE sedang cuba mengadakan rundingan bersama kementerian terbabit bagi mengatasi terus masalah kontroversi saman ekor ini.

“Kami ingin mendapat peluang adakan dialog dengan Kementerian Pengangkutan, dan Kementerian Dalam Negeri. Harap Kerajaan dapat adakan rundngan dengan semua poihak bagi cari penyelesaian,” kata beliau sebelum menambah surat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Hussein akan diserahkan dalam masa terdekat bagi mengadakan perjumpaan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata keputusan itu diambil setelah mendengar alasan, aduan dan rayuan orang ramai dan ahli jemaah menteri.

Tempoh itu diambil kira berikutan musim perayaan bermula dari sambutan Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Hari Krismas dan Tahun Baru Cina, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet di kementeriannya di Putrajaya.

“Pada masa yang sama kepada mereka yang disenaraihitamkan atau yang mempunyai notis-notis yang perlu dijelaskan, mereka tetap perlu menjelaskannya,” katanya.

Pemuda Umno juga mengalu-alukan keputusan Kabinet yang menangguhkan sistem senarai hitam pemilik kenderaan dan membolehkan mereka memperbaharui cukai jalan.

Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, keputusan Kabinet itu mencerminkan pendirian pergerakan itu yang mahu pelaksanaan saman ekor ini dikaji semula.

“Pemuda Umno menganggap keputusan Kabinet itu paling tepat. Lagipun ini memang desakan dari seluruh negara,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Menurut Reezal, Pemuda Umno hanya meminta agar sistem saman ekor dikaji semula dan tidak pernah meminta untuk dihapuskan penyenaraian hitam pemilik kenderaan itu.

“Sebelum habis kajian, kena tangguhkan dulu. Kena faham Pemuda tak pernah minta mansuh sama sekali. Ini kerana ia tidak adil pada sesetengah pihak,” jelas beliau sambil menambah bahawa sistem yang lengkap perlu diadakan bagi menjamin keadilan.

“Memang perlu ada sistem, aturan dan peraturan serta penguatkuasaan yang merangkumi keseluruhan sistem,” katanya lagi.

Tiada ulasan: