Sabtu, 14 Ogos 2010

Jual rokok belum perlu lesen

BERNAMA

PUTRAJAYA — Tidak ada lesen akan dikenakan untuk mereka yang menjual rokok di negara ini buat masa ini kerana peraturan membabitkan perlesenan itu belum dimuktamadkan, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Hamzah Zainudin.

Beliau berkata walaupun Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) diperuntukkan kuasa untuk mengeluarkan lesen itu mengikut Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (Akta 692), namun peraturan penguatkuasaan aktiviti perlesenan masih dalam peringkat penggubalan.

“Kementerian akan mengkaji segala cadangan pelaksanaan dengan mengambil kira kepentingan semua pihak yang terlibat, termasuk industri.

“Apabila peraturan itu digubal, barulah kita umumkan satu cara bagaimana nak menentukan supaya hanya mereka yang layak sahaja boleh jual rokok,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hamzah berkata peraturan itu diadakan bagi mengawal selia penjualan rokok di negara ini, di mana pembekal rokok akan dikenal pasti bagi mengelak penjualan rokok haram.

Beliau berkata kementerian juga belum memutuskan sama ada sebarang bayaran akan dikenakan bagi perlesenan itu, dan mekanisme perlesenan itu hanya akan diumumkan selepas ia diluluskan oleh sebuah jawatankuasa kabinet, dijangka sebelum hujung tahun ini.

“Akta ini juga membenarkan LKTN untuk mengenakan ses namun ia terpulang kepada persetujuan kementerian dengan Kementerian Kewangan, tetapi buat masa ini ia masih belum diputuskan,” katanya.

Kekeliruan mengenai lesen tersebut timbul selepas Pengerusi LKTN Datuk Ismail Kassim mengeluarkan kenyataan memberi tempoh sehingga 1 Sept ini untuk orang ramai mendapatkan lesen untuk membeli, menjual, memproses, mengilang dan mengimport kenaf dan tembakau.

Hamzah berkata penguatkuasaan itu tidak melibatkan penjualan rokok.

“Tidak timbul isu untuk mendapatkan lesen bagi aktiviti lain melibatkan kenaf dan tembakau kerana ia sudah lama dilaksanakan,” katanya.

Tiada ulasan: