Ahad, 22 Ogos 2010

Jangan heret agama, Jamaluddin kepada Chua Soi Lek

Lim Hong Siang

Agama diheret ke dalam isu stesen radio 98.8, antara pengacara rancangan call-in "Say Hi to Malaysia", Jamaluddin Ibrahim dengan Presiden MCA, Chua Soi Lek. Isu ini bermula daripada pertikaian sama ada wujudnya campur tangan politik ke dalam media, tetapi kini pula beralih kepada identiti Jamaluddin sebagai muslim.

Ia berpunca daripada satu temuramah antara Jamaluddin Ibrahim dengan MerdekaReview, yang mana Jamaluddin mendakwa bahawa dalam satu pertemuan antara dirinya dengan Chua Soi Lek (gambar kiri) yang berlangsung kira-kira 45 minit, Chua telah memberi jaminan sekurang-kurangnya lima kali bahawa beliau tidak akan campur tangan dalam stesen radio 98.8 dan kebebasan akhbar.

Chua serang Jamaluddin

Bagaimanapun, kesilapan berlaku apabila kenyataan "jaminan sebanyak lima kali" oleh Jamaluddin tercatat sebagai "pertemuan sebanyak lima kali". Maka, Chua Soi Lek mengeluarkan kenyataan semalam, "Dakwaan Jamaluddin bahawa beliau bertemu dengan saya sebanyak lima kali adalah kenyataan yang tidak benar. Sebagai seorang muslim, Jamaluddin seharusnya lebih bertanggungjawab dan tidak patut mengeluarkan kenyataan yang salah dan mengelirukan, terutamanya dalam bulan puasa yang suci ini."

MerdekaReview sebenarnya telah memperbetulkan kesilapan tersebut pada pagi 20 Ogos (semalam), selepas menerima panggilan daripada Jamaluddin untuk menjelaskan keadaan sebenar. Bagaimanapun, MerdekaReview meminta maaf atas kesilapan tersebut.

Dalam kenyataan yang sama pada petang semalam, Chua Soi Lek menegaskan bahawa pimpinan MCA tidak pernah campur tangan dalam urusan Star Publications (M) Bhd dan stesen 98.8 di bawahnya. Malah, beliau mendakwa bahawa MCA menyedari realiti Star Publications (M) Bhd sebagai syarikat tersenarai, lantas perlu bertanggungjawab kepada pemegang sahamnya.

MCA tidak memberi sebarang arahan berhubung isu Jamaluddin Ibrahim, dan parti politik ini tidak akan campur tangan dalam hal siasatan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (MCMC) terhadap stesen radio 98.8, sebaliknya menyerah kepada pihak pengurusan yang berkenaan untuk mengendalikannya, tegas Chua Soi Lek.

Beliau menambah, "Saya yakin institusi media tidak harus diperalatkan dan disalahgunakan oleh sesiapa yang mempunyai agenda tersendiri."

Jamaluddin membalas Chua

Dalam satu kenyataan pada hari ini, Jamaluddin Ibrahim pula membalas, "Sebagaimana yang diperjelaskan Presiden MCA Chua Soi Lek, saya pernah bertemu sekali dengan Chua di pejabat Presiden MCA, tingkat sembilan ibu pejabat MCA pada 3 Mei tahun ini. Dalam perbualan selama 45 minit, Chua mengulangi sekurang-kurangnya lima kali, bahawa beliau tidak akan campur tangan dalam stesen 98.8 dan kebebasan media."

"Sehingga hari ini, saya berharap beliau tidak pernah mungkir janji, malah berterima kasih kerana penjelasan beliau kepada media," sambung Jamaluddin (gambar kiri).

Beliau bersambung, "Namun demikian, apa yang saya kesal dan keliru, mengapa beliau memilih untuk mengaitkan isu ini dengan identiti muslim dan bulan puasa? Kenyataan beliau berbunyi 'Sebagai seorang muslim, Jamaluddin seharusnya lebih bertanggungjawab dan tidak patut mengeluarkan kenyataan yang salah dan mengelirukan, terutamanya dalam bulan puasa yang suci ini', seolah-olahnya membawa maksud bahawa 'muslim seharusnya lebih bertanggungjawab daripada bukan muslim."

"Saya berharap beliau memberi penjelasan dan memohon maaf berikutan kenyataannya yang mendiskriminasi agama secara terang-terang ini. Stesen radio 98.8 kini berdepan dengan detik saat yang paling genting, di mana kebebasan media ditindas. Presiden Chua Soi Lek seharusnya bersama kami, dan bersama jutaan audiens yang meminati rancangan Say Hi to Malaysia," kata Jamaluddin.

Jamaluddin yang mengeluarkan kenyataan medianya dalam bahasa Cina menambah, "Pada hakikatnya, setiap warga negara harus bertanggungjawab, dan bukan hanya umat Islam. Kita tidak harus membezakan antara siapa harus bertanggungjawab, atau tidak harus berbohong dengan identiti agama atau kaum seseorang. Saya tidak berharap mereka yang mempunyai niat lain, untuk mengalih isu penindasan kebebasan media ini kepada isu agama atau kaum."

Tiada ulasan: