Khamis, 12 Ogos 2010

GMI mahukan sokongan Selangor gesa mansuh ISA


KUALA LUMPUR — Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh berkata beliau akan bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat dalam kempen beliau untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Bercakap kepada The Malaysian Insider, Syed Ibrahim mengesahkan akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam masa terdekat.

“Kami akan jumpa Menteri Besar untuk mendapatkan sokongan buat satu ‘billboard’, tunjukkan sokongan kerajaan negeri Selangor dalam memansuhkan ISA,” kata Syed Ibrahim.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberi tarikh sebenar pertemuan itu akan berlaku.

Selain itu, GMI dan sekutu NGO mereka, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) akan mengadakan satu seminar bagi menerangkan kepada rakyat mengenai isu ISA dan kewajaran akta itu dihapus.

Seminar yang akan diadakan dalam bulan ini, juga mendapatkan kerjasama kerajaan negeri Selangor dan komponen Pakatan Rakyat.

“Seminar ini sedang dalam perancangan. Kita akan adakan di Selangor dan secara umumnya dua hingga tiga pihak dah bagi persetujuan,” katanya.

Menurut Syed Ibrahim, antara mereka yang dijangka terlibat ialah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim serta bekas Pesuruhjaya Suhakam Datuk KC Vohrah.

Bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut mengenai tetamu lain dan berkata akan mengumumkan perkara ini dalam masa terdekat.

Selangor telah dilihat sebagai kerajaan Mesra Rakyat terutamanya dalam kempen ‘merakyatkan ekonomi’ seperti pemberian air percuma.

Dalam sidang DUN lalu, kerajaan negeri Selangor bersetuju untuk merangka Akta Kebebasan Maklumat bagi membolehkan maklumat diperoleh dengan mudah.

Kerajaan Selangor juga terkenal dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan yang membuat pendengaran terbuka isu-isu kontroversi mnelibatkan kerajaan negeri seperti isu kecurian pasir.

Tiada ulasan: