Isnin, 9 Ogos 2010

Gejala sosial wajib di kursus perkahwinan

Harakahdaily

RAWANG: Kerajaan negeri Selangor telah mewajibkan isu-isu gejala sosial termasuk isu buang bayi dalam semua kursus pra perkahwinan di negeri ini.

Ia diwajibkan hasil dari kajian yang dibuat oleh Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

(Gambar: Dr Halimah menandatangani plak Pasti Nur Insaniah, Bandar Tasik Puteri dengan diperhatikan oleh ketua gurunya)

Demikian kata Exco kerajaan negeri, Dr Halimah Ali ketika berucap merasmikan Pasti Nur Insaniah, Pejabat Perkhidmatan Jawatankuasa Penduduk serta Perpustakaan Komuniti Bandar Tasik Puteri tengahari tadi.

Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial ini ditubuhkan bagi melahirkan satu mekanisma untuk menghadapi gejala yang dikatakan semakin teruk ini di setiap peringkat.

Sebagai langkah awal, katanya, beliau telah berbincang dengan Jabatan Agama Islam Selangor agar memasukkan isu-isu gejala sosial ini dalam kursus pra perkahwinan di negeri ini.

"Kita mahu membendungnya sejak mereka belum berkahwin lagi agar keluarga yang dibentuk tidak menjadi sumber gejala buang anak dan sebagainya," kata beliau.

Beliau berkata, semua pihak telah dilibatkan oleh kerajaan negeri bagi menangani gejala ini.

Di peringkat negeri, beliau sendiri mempengerusikan jawatankuasa ini manakala di peringkat daerah pula ia diketuai oleh Pegawai Daerah.

(Gambar: Dr Halimah menandatangani plak Pejabat JKP Bandar Tasik Puteri dengan diperhatikan oleh Zaidi Talib, ahli MPS untuk zon itu)

"Selangor bercita-cita melahirkan negeri yang Baldatun Tayyibun Warabbun Ghafur (negeri baik yang diberkati) iaitu negeri yang bebas dari bala dan mahukan pembangunan fizikal kita seimbang dengan pembangunan rohani.

"Kita mahu negeri ini menjadi magnet kepada malaikat. Kita juga mahu negeri ini mendapat sijil ISO bukan ISO Sirim sahaja tetapi ISO dari langit (Allah).

"Kalau negeri kita penuh dengan gejala sosial, macamana kita hendak mendapat keberkatan dan mencapai hasrat itu," kata beliau di majlis itu.

Ekoran itu, beliau memuji kejayaan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) iaitu kelas pra sekolah yang dipelopori oleh PAS kerana berjaya menanamkan ciri-ciri baik untuk mencapai hasrat tersebut.

Dalam ucapannya juga, Halimah memberitahu, Kerajan negeri Selangor merancang untuk menerbitkan satu buku mega untuk rakyat negeri ini.

Ia sedang ditulis oleh 1,000 orang dari menteri besar, exco, pegawai kanan kerajaan, pelajar, petani, nelayan bahkan juga lain-lain sektor masyarakat negeri ini.

Buku yang bertajuk "Selangor negeri idaman, maju sejahtera dan berkebajikan" dijangka akan mencatatkan satu lagi rekod dalam sejarah negeri dan negara ini.

Tiada ulasan: