Selasa, 3 Ogos 2010

FDI merudum: Mahfuz mahu bertemu Mustapa

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) mahu bertemu dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed bagi berbincang mengenai kejatuhan pelaburan langsung asing (FDI).

Mahfuz berkata, perbincangan itu difikirkan perlu bagi membolehkan beliau berkongsi pandangan dan memberikan beberapa formula bagi menarik kembali pelaburan asing.

"Saya nak minta supaya Datuk Mustapa meluangkan masa ataupun menetapkan satu tarikh bagi membolehkan saya menawarkan diri untuk memberikan beberapa input kepada beliau dan MITI tentang bagaimana MITI harus mengatur strategi untuk menarik pelaburan luar ke dalam negara kita," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kerajaan seolah-olah tidak mengambil berat terhadap industri elektronik dan petroleum yang boleh digunakan untuk menarik pelaburan asing ke negara ini.

Ujarnya, kerajaan gagal mengatur satu pelan strategi pemasaran untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama untuk melabur.

"Saya melihat kerajaan seperti tidak memberi perhatian kepada industri elektronik yang sudah berakar umbi dalam negara kita sejak tahun 70-an. Sepatutnya kita boleh guna industri ini untuk menarik pelaburan datang ke negara kita.

"Begitu juga dengan industri petroleum. Kita harus melakukan sesuatu dalam industri petroleum. Saya juga mempunyai idea berkenaan soal mineral dan juga komoditi yang saya lihat kerajaan seolah-olah tidak buat sesuatu yang terbaik ke arah menarik pelaburan.

"Begitu juga dengan tenaga hijau. Yang penting kerajaan gagal untuk mengadakan satu strategi pemasaran untuk memasarkan Malaysia sebagai destinasi ulung untuk FDI. Ini bagi saya satu kegagalan dan seperti menteri MITI tidak buat kerja," katanya.

Sebelum ini, bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah mengecam Mustapa kerana tidak memberitahu perkara yang sebenar berhubung sebab utama tentang kejatuhan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak 81 peratus pada 2009.

Mustapa mendakwa, FDI ke negara ini merudum begitu teruk ke tahap terburuk sehingga 81 peratus kerana Malaysia berada pada tahap pembangunan yang berbeza dengan jiran-jirannya.

Namun, Tengku Razaleigh menjelaskan, FDI merudum kerana ia melibatkan skala pembangunan pada tahap berbeza, justeru tidak boleh menarik pelaburan infrastuktur.

Tiada ulasan: