Jumaat, 13 Ogos 2010

CIJ: FOI Selangor perlu berprinsip penzahiran

BERNAMA


Cadangan rang undang-undang Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) 2010 oleh kerajaan Selangor harus berpandu kepada prinsip penzahiran secara maksimum, selaras dengan undang-undang antarabangsa, menurut Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) hari ini.

Pengarahnya V Gayathry (pertama dari kiri) berkata enakmen itu harus melindungi konsep kebebasan dan menyediakan hak asas kepada akses mendapatkan maklumat.

"Prinisp penzahiran secara maksimum memastikan andaian bahawa semua maklumat yang dipegang oleh badan-badan awam harus tertakluk kepada penzahiran tanpa syarat.

"Oleh itu badan awam mempunyai kewajipan untuk mendedahkan maklumat dan setiap orang awam mempunyai hak sama untuk menerima maklumat," katanya pada sesi dialog antara Jawatankuasa FOI dan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Shah Alam hari ini.

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mencipta sejarah apabila membentangkan rang undang-undang FOI bagi memperkukuhkan hak rakyat mendapat akses kepada maklumat semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini.

Exco negeri Bagi Alam Sekitar, Pelancongan dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong dilaporkan sebagai berkata kerajaan negeri membentangkan rang undang-undang itu bagi mempertingkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan awam.

Rang undang-undang itu memperuntukan seorang pegawai maklumat ditempatkan di setiap jabatan kerajaan negeri bagi membimbing orang awam dalam mengakses dokumen yang diminta.

Pegawai berkenaan perlu memberi respon dalam tempoh 30 hari atau tujuh hari dalam situasi mengancam nyawa.

Gayathry berkata rang undang-undang FOI harus menyediakan perlindungan kepada pemberi maklumat bagi memastikan mereka tidak dihukum kerana mendedahkan maklumat mengenai perbuatan salah laku.

Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa FOI Selangor, Saari Sungib berkata perbincangan dengan NGO itu menunjukkan rang undang-undang perlu diperbaiki lagi.

"Tujuan perbincangan itu bagi menggalakkan maklum balas membina, pertukaran idea dan memberi cadangan bagi mempertingkatkan rang undang-undang itu supaya memastikan orang awam akan mendapat manfaat daripada akses kepada maklumat yang diperlukan," katanya.

Katanya enakmen itu, yang dijangka berkuat kuasa menjelang Jun tahun depan, akan membolehkan penduduk mendapat maklumat tanpa larangan terhadap projek-projek yang dilaksanakan di kawasan masing-masing.


Tiada ulasan: