Khamis, 19 Ogos 2010

Bukan Diri Saya Tetapi Malaysia Yang Dibicarakan

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bukan dirinya yang dibicarakan dalam kes Fitnah II tetapi badan kehakiman dan sistem perundangan negara ini sebenarnya yang diletakkan dalam kandang orang salah dan sedang 'dibicarakan'.

Anwar menegaskan rakya Malaysia tidak lagi tinggal di dalam 'zaman gelap' di mana undang-undang dan hukuman itu hanya dimilki oleh segelintir kelompok elit sahaja.

Namun, baginya hikmah prosiding kes Fitnah II terhadap beliau sebenarnya telah berjaya membuka mata dan minda rakyat Malaysia yang mengikuti setiap aspek perbicaraan dengan teliti dan serius dan seterusnya setiap tindakan pihak pendakwaan dan keputusan hakim dijadikan perbincangan, topik perbualan dan perdebatan hangat di kalangan orang awam dan juga pengamal undang-undang berkenaan perjalanan kes tersebut.

"Kebenaran harus ditegakkan, dan hakim tiada pilihan selain daripada menangguhkan perbicaraan ini, apatah lagi dengan niat jahat. Kita kena faham dan realistik dengan sistem yang ada. Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, sudah tentu kita mengharapkan keadilan yang hakiki.

"Saya optimis, bukan kerana saya tidak percaya kepada sistem ini, tetapi keadilan akan dapat ditegakkan. InsyaAllah," kata Anwar diperkarangan Mahkamah Tinggi Isnin lalu.

Beliau bercakap kepada media selepas keputusan penangguhan perbicaraan kepada 20 September sementara menunggu keputusan permohonan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan pihak pasukan pembelaan untuk menggugurkan kes.

Mohamad Zabidin ketika membenarkan penangguhan prosiding berkata walaupun keputusan yang diberikan merupakan prinsip yang terpakai, tetapi keputusan itu merupakan satu contoh tertentu daripada keadaan istimewa.

Dalam kes ini, katanya seandainya rayuan pemohon dibenarkan, tuduhan terhadapnya juga akan gugur.

"Dalam hal yang demikian jika pendengaran masih diteruskan, segala usaha, masa, dan juga perbelanjaan yang membabitkan pihak pendakwa dan pihak yang membela diri atas pertuduhan yang kemudiannya dibatalkan, akan menjadi sia sia.

"Tetapi keputusan harus bererti dalam isu ini, iaitu kuasa dalam mahkamah yang di bawa adalah diasaskan atas dakwaan yang melibatkan integriti perbicaraan itu sendiri. Jadi, adalah lebih adil sekiranya ia diselesaikan terlebih dahulu oleh Mahkamah Rayuan sebelum perbicaraan diteruskan. Ini sebagai suatu keadaan istimewa yang memerlukan prosiding bagi menunggu keputusan rayuan.

"Oleh itu, permohonan penangguhan prosiding bagi menunggu keputusan di Mahkamah Rayuan adalah dibenarkan," kata Mohamad Zabidin ketika membacakan keputusannya.

Peguam Sankara Nair menjelaskan, penghujahan pasukan pembelaan adalah kukuh di mana rayuan bagi permohonan pengguguran pertuduhan masih belum didengar di Mahkamah Rayuan.

"Kita belum tahu lagi bila Mahkamah Rayuan akan memutuskan penghakimannya. Ianya sekurang-kurangnya akan mengambil masa dalam satu atau dua bulan. Sekirannya rayuan dibenarkan, ini (perbicaraan) akan menjadi sia-sia kerana kes ini akan memakan masa dan kos sementara menunggu permohonan rayuan di Mahkamah Rayuan.

"Keputusan ini agak mengejutkan, namun melegakan. Sebelum ini, tidak pernah sekali pun permohonan kita dibenarkan. Sekurang-kurangnya kita ada sedikit masa untuk membuat persediaan bagi menghadapi prosiding dalam Mahkamah Rayuan dan kemudiannya prosiding bagi perbicaraan akan disambung semula," kata Sankara.

Tiada ulasan: