Rabu, 18 Ogos 2010

Buang bayi: Umno turut dijemput ke meja bulat

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat akan menganjurkan satu sidang meja bulat bagi membincangkan permasalahan sosial yang kian meruncing khususnya isu zina dan buang bayi.

Menurut Timbalan ketuanya Azman Shapawi Abdul Rani, sidang tersebut akan diadakan pada 22 Ogos ini bertempat di Anjung Rahmat, Gombak bermula jam 2 hingga 5.30 petang.

Sidang itu antara lain bagi merungkai punca permasalahan dan mencari penyelesaian terbaik kepada permasalahan yang saban hari berlaku itu.

"Kita akan bincang dari sudut punca berlakunya perkara ini. Pemuda PAS sendiri telah fikir beberapa perkara, dan yang kita nampak perkara ini berpunca daripada misalnya sambutan malam tahun baru, malam kemerdekaan dan hari valentine's yang menyebabkan berlakunya pergalan bebas," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut di sini.

Sidang itu juga katanya turut menjemput semua parti politik, badan bukan kerajaan NGO, ahli akademik, tokoh agama, aktivis sosial serta individu yang prihatin terhadap masalah itu.

Ianya sebagai inisiatif menggerakkan seluruh masyarakat agar memandang serius terhadap fenomena sosial yang sedang melanda negara khususnya serangan akhlak dan moral golongan belia.

"Kita menganggap bukan sahaja kerajaan yang harus menangani isu ini tapi termasuk juga kesedaran masyarakat. Sebab itu kita buat keputusan untuk panggil semua parti politik termasuk pemuda Umno sebagai tanggungjawab kita untuk menyelesaikan masalah yang semakin membarah dalam masyarakat," ujarnya.

Isu buang bayi khususnya semakin menjadi-jadi apabila setiap hari dilaporkan berlaku.

Terbaru seorang bayi lelaki yang masih hidup serta bertali pusat telah ditinggalkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di Kampung Hulu Takir, Kuala Terengganu semalam.

Manakala dalam satu lagi kes serupa, di Bukit Mertajam seorang bayi perempuan berusia tujuh hari ditemui oleh seorang pekerja kilang di hadapan rumahnya di Bukit Minyak di sini, Ahad lalu.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa Dewan Pemuda PAS akan mengadakan Ijtima' Tarbawi (himpunan tahunan )pada 1 hingga 3 Oktober ini.

Himpunan tersebut akan mengumpulkan enam hingga lapan ribu ahli pemuda PAS seluruh negara dalam usaha memperkuat ahli dewan itu berdepan Pilihan Raya Umum ke-13.

18 ulasan:

lisa berkata...

Hopefully they will come up with a good solution or prevention to this issue through the discussion.

lisa berkata...

Might i suggest, block all porno websites to prevent anyone to gain access to this sorta sites.

Ted Medresher berkata...

satu pendekatan yang baik. masalah sosial seperti ini menuntut perhatian dari semua pihak tanpa ada sekatan atau kekangan politik. memang wajar sidang meja bulat ini dihadiri semua pihak untuk sama2 mencari penyelesaian sekaligus dapat mengelakkan perang media memandang isu ini kian mendapat perhatian media. tahniah dan semoga sidang ini berjalan dengan lancar serta mampu mencapai penyelesaian yang terbaik.

Tanpa Nama berkata...

harap mereka dpt mencapai kata sepakat untuk membendung masalah zina dan buang bayi yang semakin berleluasa ini.

Leo berkata...

Cadangan untuk menganjurkan satu sidang meja bulat bagi membincangkan permasalahan sosial adalah satu idea yang bagus. Semua parti politik harus melibatkan diri dalam perbincangan tersebut untuk menyelesaikan masalah ini yang semakin serius.

gambir berkata...

"Buang bayi" yang berlaku di negara kita perlu dibawa berbincang oleh semua pihak. Saya berpendapat perlu mengadakan satu forum perbincangan secara terbuka agar seluruh masyarakat di malaysia dapat bekerjasama dengan memberi pendapat atau cara untuk menyelesaikan masalah ini.

langsat berkata...

kes buang bayi ni menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia ni sudah tiada unsur-unsur kasih sayang dan kemanusiaan sehingga tergamak buat perkara yang terkutuk ni.

langsat berkata...

Bagi saya, masyarakat Malaysia sepatutnya tidak terlalu menghukum mereka yang telah melakukan dosa zina ni kerana akibatnya ialah bayi tidak berdosa ni dibuang. sebaiknya, bukan hanya beri kesedaran pada sipelaku zina tetapi beri nasihat juga kepada masyarakat sekeliling agar jangan terlalu menghukum para remaja atau sesiapa sahaja yang sudah melakukan dosa zina ni. sebaiknya si pelaku zina ni diberi bimbingan dan mendapat dorongan masyarakat setempat agar menerima mereka ni. bukannya sokong perbuatan mereka ini tetapi jika ingin menghindarkan perbuatan buang bayi ni...masyarakat perlu berubah dahulu!

mike berkata...

saya setuju dengan pendapat saudara langsat..harus diingat bahawa dorongan, bimbingan serta penerimaan masyarakat kepada si pelaku sedikit sebanyak boleh memberikan nafas baru kepada mereka...

Paquin berkata...

Ya setuju dengan pandangan ko langsat.

Paquin berkata...

Apapun saya harap hasil perbincangan meja bulat menjanjikan harapan baru buat masyarakat.

mike berkata...

masalah sosial yang sedang berlaku di negara kita ini sememangnya serius terutama kes2 buang bayi..semua pihak haruslah tampil dan berkerjasama mecari penyelesaian yang efektif..

mike berkata...

selain itu, usaha kesedaran yang berterusan harus dilakukan agar masalah seperti ini dapat dikawal dan seterusnya dibendung...

mike berkata...

diharapkan agar penyelesaian akan dapat diikhtiarkan bagi membendung masalah sosial ini..

zam berkata...

ini satu usaha yang baik dalam mencari penyelesaian masalah sosial kini. semua pihak memang perlu untuk bekerjasama dalam menangani masalah yang dihadapi oleh masyarakat kita.

Anak Sabah berkata...

Isu buang bayi dan zina ini sememangnya memerlukan perbincangan and penyelesaian yang baik.

Bujang Senang berkata...

BN dan semua parti tidak kira pembangkang harus berkerja sama untuk menangani masalah pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi ini. Cari punca utama kenapa pembuangan bayi ini berlaku dari hari ke hari dan makin menjadi isu yang berleluasa.

Unknown berkata...

Yes, definitely we need all to involves, this issue effecting us all.. and that's be good if we all give an opinion and discuss... Slowly we find solution and yeah hopefully things will be better...