Selasa, 10 Ogos 2010

Azizan: Pelabur Asing dilarang beli tanah di Kedah


azizan Oleh Qayum Rahman

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Kedah mencari jalan penyelesaian sewajarnya untuk menghalang pelabur asing berkunjung ke Kedah membeli tanah di pulau-pulau yang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak ketika dihubungi berkata, kerajaan negeri melarang pelabur asing melabur di pulau-pulau berkenaan adalah kerana ia akan menyebabkan kawasan tersebut berubah menjadi hak milik orang luar yang akan menguasai pulau itu kelak.

Menurutnya, sekiranya ‘budaya’ pembelian tanah oleh pelabur asing masih berterusan, ia akan merugikan pelbagai pihak untuk masa akan datang.

“Masalahnya sekarang, pelabur asing buat pembangunan di kawasan perkampungan tanah Melayu, ertinya orang Melayu diperalatkan dalam perjanjian di mana orang Melayu perlu mengakui membeli tanah tersebut tetapi sebenarnya pelabur asing yang membelinya.

“Jika ini berterusan, ia akan menjejaskan hak milik orang Melayu contohnya di Pulau Langkawi. Kerajaan negeri sekarang ini juga sudah menetapkan untuk orang luar membeli di tempat-tempat tertentu dan di bangunan-bangunan tertentu,” katanya.

Azizan berkata, Kerajaan Negeri peka berhubung isu pembelian Tanah Rezab Melayu di Pulau Langkawi oleh pelabur asing yang dikhuatiri akan merugikan penduduk setempat.

Beliau berkata, kerajaan negeri bimbang sekiranya orang luar membeli tanah dan bangunan di kawasan tanah orang Melayu untuk tujuan mewujudkan kawasan hiburan ataupun pusat peranginan yang akan menyebabkan budaya dan keadaan sosial di kawasan berkenaan berubah.

“Ada juga laporan yang kita terima mengatakan bahawa mereka (pelabur asing) ini membina pub dan sebagainya dalam kawasan kampung dan Kerajaan Negeri akan mengambil usaha untuk mengawal perkara ini.

“Kerajaan Negeri juga akan mengadakan beberapa peraturan, terutama sekali orang luar tidak boleh membeli tanah milik orang Melayu dan yang kedua, sekiranya dibeli atas nama orang lain, kita akan tengok dan kaji siapa yang tinggal di situ,” katanya.

Terdahulu, isu berhubung pembelian Tanah Rezab Melayu di Pulau Langkawi pernah dibangkitkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2 Ogos lalu oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer hangat, Mohd Rawi Abdul Hamid.

Tiada ulasan: