Jumaat, 6 Ogos 2010

Amal Sistem Tender Terbuka, Henti Surat Sokongan Untuk Dapatkan Kontrak

Oleh Rusnizam Mahat

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat supaya menghentikan amalan mengeluarkan surat sokongan bagi tujuan menjamin pemberian kontrak kerajaan kepada syarikat tertentu.

Anwar berkata pemerolehan kontrak perlu dianugerahkan melalui proses biasa iaitu sistem tender secara terbuka tanpa sebarang campurtangan ahli parlimen atau anggota Dewan Undangan Negeri.

“Kerajaan negeri mesti singkirkan surat sokongan yang melibatkan tender, (dengan niat) menjamin ia untuk syarikat.

"Adalah tidak perlu untuk surat-surat sokongan digunakan bagi mendapatkan kontrak kerajaan untuk syarikat-syarikat. Ia mesti melalui amalan biasa, proses tender terbuka,” kata beliau dalam laporan themalaysianinsider.com

Desakan yang sama disuarakan ahli parlimen Pakatan Rakyat yang menggesa supaya Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengeluarkan arahan memansuhkan penggunaan surat sokongan dan menggantikannya dengan sistem tender terbuka seperti mana yang diamalkan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Bagaimanapun Anwar berkata tidak semua surat sokongan perlu dimansuhkan kerana ia dapat membantu melicinkan proses pentadbiran kerajaan seperti permohonan biasiswa dan dalam kes melibatkan kepentingan rakyat terbanyak.

“Ia bergantung kepada keadaan, anda tidak boleh hanya menghapuskan surat sokongan. Jika anda mengatakan memansuhkan surat sokongan yang boleh mempengaruhi proses tender penganugerahan kontrak-kontrak kerajaan untuk syarikat-syarikat, ia baik.

“Tetapi kadang kala terdapat orang ramai yang memerlukan bantuan untuk memperolehi biasiswa, atau mungkin memperbetulkan sebatang paip salur yang pecah.

“Sebagai wakil rakyat yang dipilih dan ahli parlimen, kita mempunyai satu tanggungjawab untuk membantu rakyat. Kita perlu membantu rakyat selagi boleh, kadang-kadang saya mendapat beratus-ratus surat di pejabat saya, surat sokongan boleh memudahkan proses membantu penduduk di kawasan kita,” ujar Anwar.

Tiada ulasan: