Khamis, 5 Ogos 2010

ADA PIHAK IRI HATI DALAM USIA

SABAH KINI




PERLETAKAN jawatan Timbalan Presiden Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) bukan kerana tidak setia kepada pertubuhan itu mahupun Presiden tetapi ada kaitannya dengan usaha beberapa pihak tertentu yang terus mahu menyingkirkan beliau dari memegang jawatan itu.

Kenyataan itu disuarakan oleh mantan Timbalan Presiden Usia Datuk Lajim Haji Ukin semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Usia Bahagian Beaufort yang diadakan di Rumah Tetamu Kerajaan baru-baru ini.

“Ada pihak tidak senang hati untuk saya berada dalam Usia menyebabkan saya terpaksa membuat keputusan itu,” katanya.

Lajim memberikan bukti itu antaranya dalam pemilihan Tahun 2008, beliau mendapat 7 pencalonan dan diikhtiar menang pemilihan itu tanpa bertanding namun demikian selepas mengesahkan menang tanpa bertanding, ada pihak pula berunding dengan beliau memintanya supaya mengundurkan diri bagi memberikan laluan kepada orang lain.

“Tak perlu saya mendedahkan siapa pihak itu bagaimana cara mereka memujuk saya dan bagaimana konspirasi mereka mengadu dombakan kita dengan pemimpin yang lain,” kata Lajim.

Katanya, setelah menduduki timbalan pesiden, beliau tidak mempunyai niat langsung mengambil alih pucuk pimpinan Presiden.

“Sebelum ini saya pernah bersemuka dengan Presiden Usia Tun Sakaran Dandai dan menyatakan taat setia saya kepada beliau bukan hanya sebagai Presiden Usia tetapi juga sebagai mantan Yang DiPertua Negeri dan juga pemimpin,” kata Lajim.

Beliau berkata oleh kerana pihak-pihak tertentu mahu terus menerus menyingkirkannya, beliau terpaksa mengambil keputusan meletakkan jawatan dalam Usia sekalipun tanpa kerelaan hati dan bukan kerana sebab lain.

Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort itu bagaimanapun berkata walaupun beliau berundur dari menjadi Timbalan Presiden Usia, tetapi akan terus memberikan sokongan dan kerjasama kepada Usia terutama dalam melaksanakan program dakwah Islamiah demi kepentingan masyarakat Islam di negeri ini.

Beliau juga berharap agar Usia perlu mencari pendekatan dalam melipatgandakan usahanya terutama sekali dalam memberikan pelbagai program bimbingan keagamaan terhadap masyarakat Islam.

“Dunia masa kini sudah jauh berubah, masyarakat Islam juga tidak terlepas dari menghadapi pelbagai cabaran global yang mana cabaran-cabaran masa kini tidak kurangnya yang boleh meruntuhkan moral, budaya dan pegangan agama,” tegasnya.

Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia itu memberitahu, statistik 2009, menunjukkan iaitu daripada 124 ribu penagih dadah dalam negara ini, 80 peratus membabitkan orang Islam dan daripada 750 ribu kes sumbang mahram dan rogol, 90 peratus adalah terdiri orang Islam.

“Terdapat beberapa aduan dalam negeri ini, ada saudara baru yang akan keluar dari agama Islam secara beramai-ramai kerana selama mereka memeluk agama Islam mereka tidak pernah dipedulikan; kampung mereka tidak ada surau; tidak ada sekolah agama dan tidak ada program agama yang dijalankan malah mereka masih cetek berhubung dengan ajaran-ajaran Islam,” katanya.

“Mereka yang berada dalam badan-badan dakwah Islam sebenarnya tahu tempat ini dan mereka pernah datang ke tempat itu namun sehingga ke hari ini tiada kunjungan susulan dilakukan untuk membimbing saudara-saudara baru itu,” kata Lajim.

Dalam hubungan ini katanya masyarakat Islam ingin tahu dimanakan sebenarnya ketelusan dan keikhlasan mereka dalam memikul tanggungjawab bukan hanya untuk melaksanakan misi dan visi pertubuhan tetapi juga dalam menegakkan Syiar Islam.

Lajim berharap supaya badan-badan dakwah turun padang mengenal pasti agar saudara-saudara baru itu diberi perhatian serius, seperti Yadim dan sebagainya termasuklah Usia sendiri yang pernah memainkan peranan utama dalam mengislamkan saudara-saudara baru.

Tiada ulasan: