Selasa, 6 Julai 2010

Sin Chew bakal tunjuk belang?

Lim Hong Siang |


Akhirnya, PKR mengambil langkah untuk "memulau" Sin Chew Daily, sebagai protes kepada laporannya bahawa "Khalid Ibrahim mungkin meletak jawatan Menteri Besar selepas cutinya". Ketika menjustifikasikan "layanan dingin" (no favour) terhadap akhbar bahasa Cina yang terbesar di Malaysia ini, Pengarah Strategi PKR, Tian Chua mendakwa "sebaran desas-desus" yang sengaja diperbesarkan akhbar itu jelas melewati batas kesabaran partinya.

Tian Chua (gambar kiri) enggan menggunakan istilah "boikot", yang lebih keras nadanya, untuk menggelar "layanan dingin" ini - tidak ditemuramah, tidak menjawab soalan wartawan dari Sin Chew Daily, tiada berita eksklusif untuk media tersebut - yang dikenakan untuk tempoh sebulan ini.

Jelas, "layanan dingin" tersebut lebih ringan jikalau dibandingkan dengan boikot sepenuhnya oleh PKR terhadap Utusan Malaysia. Mungkin ramai yang akan tertanya-tanya, bukankah akhbar tempatan bahasa Cina memberi ruang yang lebih besar, adil atau seimbang kepada pembangkang (Pakatan Rakyat) selama ini?

"Lebih bebas secara perbandingan"

Tidak dinafikan bahawa ruang liputan (kuantitatif), malah kandungan berita (kualitatif) dalam akhbar bahasa Cina lebih "seimbang", jika dan hanya jika dibandingkan dengan akhbar arus perdana tempatan bahasa Melayu/Inggeris, yang dikuasai oleh parti pemerintah. Bagaimanapun, "kebebasan" yang dinikmati ini ada latar belakangnya.

Secara tradisionalnya, biarpun akhbar bahasa Cina tertakluk kepada akta yang mencengkam kebebasan, malah dimiliki tycoon yang rapat hubungannya dengan pemerintah, tetapi tetap bersifat kritikal terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN). Faktor bahasa mungkin antara puncanya, di mana kandungannya tidak dipantau sepenuh kerana tidak ramai pegawai kerajaan yang fasih bahasa Cina.

Tapi yang lebih penting, wujudnya persaingan antara akhbar dengan akhbar, ketika dua kumpulan akhbar terbesar, Sin Chew Media Group yang memiliki Sin Chew-Guang Ming bersaing dengan Nanyang Holdings yang memiliki Nanyang Siang Pau-China Press. Dalam persaingan akhbar-akhbar tersebut untuk meningkatkan kelarisan, secara tidak langsung ruang kebebasan turut diperluaskan. Ini kerana "kelantangan bersuara" menjadi pemangkin kelarisan sesebuah akhbar, yang mendorong pemilik/editorial untuk mengambil risiko di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Pengamal media sedar, seandainya mereka terlalu berhati-hati agar tidak memijak garis merah yang diletakkan oleh Kementerian Dalam Negeri, mereka bakal kehilangan pembaca. Pembaca akan memasukkan wang ke dalam kocek pesaingnya untuk membeli akhbar yang lebih "tajam" analisanya.

MCA mengambil alih Nanyang Holdings

Namun demikian, segala-galanya berubah pada tahun 28 Mei 2001, apabila MCA mengambil keputusan untuk mengambil alih Nanyang Holdings melalui sayap pelaburannya, Huaren Holdings. Apa yang menimpa Utusan Malaysia pada tahun 1961 berulang selepas empat dekad, dengan mangsa barunya, Nanyang Holdings. Nanyang Siang Pau dituduh memihak kepada Barisan Alternatif sepanjang PRK Lunas, yang menjurus kepada kekalahan Barisan Nasional di kubu dirinya.

Pengambilalihan MCA ini sebenarnya memusnahkan Nanyang Holdings, pesaing Sin Chew Media Group. Kira-kira 100 orang kolumnis (yang menubuhkan Writers Alliance For Media Independence, WAMI ) dalam akhbar Cina mengambil tindakan drastik untuk boikot keempat-empat akhbar, termasuk Nanyang Siang Pau, China Press, Sin Chew dan Guang Ming Daily. Tujuan kolumnis untuk berhenti menulis amat jelas, iaitu memaksa MCA menarik tangannya dari Nanyang Holdings.

Tetapi, mengapa pula Sin Chew Media Group dikaitkan dalam hal ini? Ini kerana bosnya, Tiong Hiew King, tycoon media dan balak yang terkenal, disyaki sebagai "rakan strategi" Ling Liong Sik, bekas Presiden MCA yang berusaha menjayakan pengambilalihan ini. Lebih-lebih lagi, Sin Chew dan Guang Ming Daily bersikap dingin dalam isu ini, ketika masyarakat Cina bangkit menentang keputusan MCA.

Dalam satu wawancara, Tiong Hiew King (gambar kanan) menafikan bahawa dirinya terlibat dalam pengambilalihan tersebut, meskipun mengakui bahawa dirinya berminat untuk menguasai Nanyang Holdings. Malah, Tiong yang dilempar tuduhan "memonopoli akhbar Cina" ini memetik hujah bekas Presiden US Abraham Lincoln untuk membela dirinya, "Anda boleh menipu orang tertentu pada masa tertentu, tetapi anda gagal menipu kesemua orang pada kesemua masa!"

Monopoli pasaran akhbar Cina

Lima tahun kemudian, segala-galanya terjawab. Tiong Hiew King melalui Madigreen Sdn Bhd telah membeli 20.44% saham Nanyang Holdings pada Februari 2006, dan kemudiannya berjaya tampil sebagai pemegang saham terbesar setelah MCA melepaskan 21.02% saham Nanyang Holdings yang dipegangnya kepada Ezywood Options Sdn Bhd, juga dimiliki Tiong Hiew King pada 17 Oktober 2006. Perkembangan kemudiannya menyaksikan bagaimana kumpulan-kumpulan media di bawah Tiong bercantum dan membentuk Media Chinese International Limited pada hari ini.

Mengikut perhitungan pada ketika itu, pengambilalihan Tiong Hiew King pada Oktober 2006 itu bermakna beliau menguasai perspektif 2.511 juta orang pembaca akhbar, yang mencakupi 86.59% daripada jumlah pembaca akhbar Cina di Semenanjung Malaysia.

Sekumpulan aktivis pencinta/pejuang kebebasan media berkumpul di depan bangunan pejabat Sin Chew Daily pada 3 November 2006, menyatakan bantahan terhadap pengambilalihan ini. Sin Chew terpaksa membela Tiong, menjustifikasikan pengambilalihan ini dengan rencana bahawa akhbar Cina perlu disatukan untuk menentang kuasa media Barat.

Perhimpunan ini gagal mengubah realiti pasaran akhbar Cina yang semakin menuju ke arah "monopoli". Apa yang menarik, tentangan pertubuhan Cina, malah parti politik pembangkang tidak sehebat apa yang berlaku lima tahun lalu, ketika MCA memasukkan cakarnya ke dalam Nanyang Holdings.

PKR yang ketika itu tidak diluluskan permit untuk menerbitkan Suara Keadilan, lidah partinya, menyerah satu memorandum kepada SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia) untuk menuntut kebebasan media pada 24 November 2006. Selain isu Suara Keadilan, PKR turut menyebut dalam memorandum, "Pembelian Nanyang Siang Pau dan China Press oleh konglomerat Tiong Hiew King yang menguasai Sin Chew dan Guang Ming Daily, menjadikan media utama berbahasa Cina di negara ini dimonopoli oleh satu kumpulan sahaja."

Mengapa tidak bangkit menentang?

Kebebasan media bukan sekadar diancam kuasa politik, kuasa pemilikan yang tertumpu di tangan seseorang juga akan menyekat ruang kebebasan. "Banyak tapi sama" (More of the same), demikianlah kritikan akademik komunikasi terhadap fenomena monopoli media, yang bakal mengancam kemajmukan infomasi dalam media. Persoalannya, mengapa tentangan terhadap ancaman kebebasan media ini tidak begitu rancak?

Angka memberi jawapannya. Laporan Kewangan tahun 2009 Media Chinese International Limited memetik statistik daripada Audited Bureau of Circulations, dari Julai 2007 hingga Jun 2008, Sin Chew Daily mencatat edaran 383,775 naskah sehari, China Press pula 240,798 naskah sehari dan Guang Ming Daily 130,564 naskah sehari. Nanyang Siang Pau yang tidak dilaporkan edarannya, dianggar mencatat edaran kira-kira 100,000 naskah sehari.

Jumlahnya 855,137 naskah akhbar sehari, menjelaskan segala-galanya. Malah, Sin Chew Daily mendakwa dirinya memiliki jutaan pembaca, mempunyai pengaruh yang tidak kecil di kalangan masyarakat Cina. Untuk pemimpin pertubuhan Cina, mereka bergantung kepada media cetak untuk menyebarkan maklumat aktiviti; untuk pemimpin politik, publisiti menjadi pertimbangannya.

Tidak ramai yang berani menentang Sin Chew, melihat kepada nasib mereka yang berbuat demikian sebelumnya. Wong Chin Huat, aktivis demokrasi yang tampil menentang Sin Chew dalam isu monopoli media, "dinyahkan" terus dari akhbar tersebut. Wong Chin Huat yang kerap diundang sebagai ahli panel dalam forum, tidak kelihatan gambarnya dalam liputan Sin Chew.

Misalnya, Wong Chin Huat sebagai ahli panel dalam forum yang membincangkan krisis Perak pada 28 April 2009, hilang dari gambar Sin Chew yang hanya memaparkan pengerusi forum dan dua orang ahli panel yang lain (gambar kanan).

Nasib yang sama turut menimpa Tang Ah Chai yang pernah mengetuai gerakan anti-pengambilalihan MCA dan anti-monopoli. Dalam satu forum (pelancaran buku) yang diadakan pada 29 April 2010, gambar Tang Ah Chai (paling kanan, gambar berwarna) dan Wong Chin Huat (paling kiri, gambar berwarna)disingkirkan dari Sin Chew. Malah, dalam laporannya, nama kedua-dua orang panelis ini dipadamkan begitu sahaja, apabila Sin Chew melaporkan, "...majlis pelancaran buku ini mengundang ahli parlimen Bukit Mertajam Liew Chin Tong dan lain-lain sebagai ahli panel." (Gambar yang berwarna adalah gambar yang ditangkap dalam forum tersebut, disiarkan untuk tujuan perbandingan.)

Mengapa Wong Chin Huat, aktivis yang ditangkap kerana kempen "1 Black Malaysia"-nya, dan Tang Ah Chai, yang kini sebagai Ketua Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor hanya bernama "lain-lain" dalam akhbar Sin Chew? Jawapannya hanya diketahui Sin Chew sendiri.

Tian Chua bakal ulangi nasib Wong dan Tang?

"Kami sebagai ahli politik memerlukan publisiti," demikianlah alasan yang diberikan oleh pemimpin Pakatan Rakyat, ketika dipertikaikan mengapa mereka tunduk kepada Sin Chew. Mereka memahami padah yang bakal menimpa diri seandainya mengambil pendirian untuk menentang Sin Chew secara terbuka.

Maka hubungan berkepentingan yang erat terjalin. Sin Chew memperuntukkan ruang kolum, malah liputan kepada pemimpin PR untuk menunjukkan dirinya "media yang adil dan seimbang". Sementara itu, isu "monopoli media" tidak lagi kedengaran dari mulut pembangkang ini.

Kini, PKR yang merasai padah "monopoli media" mengambil langkah untuk menentang Sin Chew melalui Tian Chua. Babak ini sememangnya tidak akan dibubuhkan noktah begitu sahaja. Apa yang menarik seterusnya, adakah Tian Chua akan mengulangi nasib Wong Chin Huat dan Tang Ah Chai? Kita tunggu dan lihat.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. Tulisan ini menghuraikan secara RINGKAS apa yang berlaku dalam konteks akhbar Cina beberapa tahun kebelakangan ini.

Tiada ulasan: