Selasa, 6 Julai 2010

Singapura tahan anggota kerahan tentera cenderung militan bawah ISA

BERNAMA

SINGAPURA – Singapura menahan seorang lelaki anggota kerahan tenaga sepenuh masa dalam Angkatan Tentera Singapura mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana cenderung bersikap radikal.

Kementerian Dalam Negeri berkata Muhammad Fadil Abdul Hamid, 20, ditahan selama dua tahun mengikut ISA sejak 20 April lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata Muhammad Fadil gemar melayari internet untuk mencari propaganda jihad dan video apabila beliau menuntut dalam sebuah politeknik tempatan di mana akhirnya dia tidak menamatkan pengajiannya.

Lama-kelamaan, beliau tertarik secara radikal dengan syarahan ideologi oleh pendokong ideologi radikal seperti Anwar al-Awlaki dan Sheikh Feiz Muhammad, dan terpengaruh bahawa ia merupakan kewajipan agama bagi menyertai jihad bersenjata bersama-sama dengan rakan militan dan berjuang untuk mati syahid, kata kementerian itu.

Selepas itu, Muhammad Fadil memulakan hubungan online dengan Anwar al-Awlaki, dan melahirkan keinginannya untuk berjuang bersama-sama dengannya, dan minatnya melawat tempat-tempat seperti Palestin, Iraq dan Afghanistan untuk melakukan jihad militan.

Kementerian itu juga berkata Muhammad Fadil juga membuat hubungan online dengan seorang yang disyaki perekrut Al-Qaeda yang menggalakkannya untuk berjuang di Afghanistan.

Untuk melakukan jihad militan di seberang laut, dia melayari internet untuk mendapatkan maklumat mengenai pembuatan bom dan menghasilkan dan menghantar satu video yang mengagungkan perbuatan mati syahid dan membenarkan perbuatan pengebom berani mati.

Kementerian itu juga mengumumkan bahawa dua rakyat Singapura, Muhammad Anwar Jailani, 44, dan Muhammad Thahir Shaik Dawood, 27, diletakkan di bawah Perintah Sekatan (RO) untuk tempoh dua tahun mulai 23 Jun.

Muhammad Anwar merupakan seorang guru agama tidak bertauliah yang telah mengedarkan kepada para pelajarnya, orang hubungannya dan orang ramai beberapa salinan cakera padat (CD) mengandungi rakaman audio syarahan Anwar al-Awlaki yang meminta orang Islam untuk melakukan jihad militan ke atas bukan Islam dan musuh-musuh Islam yang lain.

Muhammad Thahir, seorang ahli perniagaan kecil-kecilan, merupakan seorang daripada pelajar Muhammad Anwar yang bersikap radikal kebanyakannya melalui pengaruhnya.

Kementerian itu berkata Muhammad Thahir telah melawat Yemen untuk mendaftar dalam sebuah institusi pendidikan yang dikelolakan oleh seorang rakan Osama bin Laden dan Al-Qaeda, dan untuk mencari Anwar al-Awlaki dan lain-lain anggota radikal dengan tujuan untuk menyertai jihad bersenjata seberang laut jika peluang itu muncul.

Bagaimanapun, dia gagal dalam usahanya untuk berhubung dengan Anwar al-Awlaki dan tidak mengambil bahagian dalam jihad bersenjata dan kemudian menarik diri dari institusi pendidikan itu.

Kementerian itu juga mengumumkan bahawa seorang anggota Jemaah Islamiah (JI) Ibrahim Mohd Noor dibebaskan mengikut perintah penggantungan di bawah ISA pada 1 Jun.

Ibrahim meninggalkan Singapura pada Disember 2001 berikutan penangkapan para anggota JI dalam satu operasi keselamatan.

Dia merupakan seorang operatif terlatih yang telah menjalankan intipan pengganas ke atas institusi tempatan di Singapura dan untuk persediaan bagi operasi pengganas JI.

Ibrahim ditangkap dan ditahan di bawah ISA pada April 2007 berikutan satu operasi bersama dengan agensi keselamatan serantau.

Tiada ulasan: