Khamis, 1 Julai 2010

Indeks kadar jenayah negara menurun

Oleh Qayum Rahman


KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan kadar jenayah di negara ini turun secara mendadak berikutan wujudnya sumbangan daripada berbagai pihak, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa mengambil langkah mempertingkatkan imej PDRM dengan mewujudkan konsep ‘Polis Komuniti’ untuk menggalakkan kerjasama rapat di antara pihak polis dan orang awam.

Hishammuddin berkata, pihak PDRM telah mengambil inisiatif mendekati anggota masyarakat sebagai rakan bagi memerangi jenayah jalanan yang telah banyak berkurangan berbanding tahun lalu.

"Saya sebagai menteri yang bertanggungjawab, cukup berpuas hati dengan apa yang telah pun dilakukan oleh semua pihak berkenaan khususnya PDRM sendiri dimana indeks kadar jenayah telah pun menurun.

"Penurunan kadar jenayah ini telah banyak memberi perubahan terhadap tahap keselamatan rakyat di negara ini dan kini lebih terjamin," katanya di lobi Parlimen hari ini.

Kadar jenayah jalanan berkurangan

Beliau berkata, pihak penguatkuasa yang melibatkan anggota Rela, Rukun Tetangga dan Rakan Cop merupakan sumber besar kepada kementerian untuk membantu mengurangkan kadar jenayah jalanan yang membimbangkan pada suatu ketika dahulu.

Tambah beliau, KDN akan sentiasa mempastikan kes-kes jenayah besar dan jenayah jalanan dapat diselesaikan segera, sebagai bukti KDN melaksanakan tanggungjawabnya.

"KDN telah bertungkus lumus setahun sebelum ini menyediakan infrastuktur pentadbiran terbaik dan perancangan terkini untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa KDN memandang serius segala permasalahan jenayah yang berlaku.

Katanya, jika wujud kes-kes pegawai KDN terlibat dalam rasuah atau menjalankan tugas sambil lewa, orang awam perlu segera melaporkan kepada KDN.

Beliau turut mengumumkan peningkatan statistik keahlian Rakan Cop yang dianggarkan meningkat menjadi 352,059 dan Rukun Tetangga 115,125 manakala sebanyak 90 buah balai bergerak diwujudkan untuk mengawal keselamatan di negeri-negeri yang berkenaan.

"Saya memberi kepastian untuk memperbanyakkan lagi jumlah anggota polis di serata negeri untuk membantu negara berada pada tahap keselamatan yang lebih memberangsangkan," jelasnya.


Tiada ulasan: