Jumaat, 16 Julai 2010

Afidavit PI Bala diserah SPRM minggu depan, kata peguam



Balasubramaniam dengan peguamnya di London baru-baru ini. — Gambar fail
KUALA LUMPUR — Afidavit detektif persendirian P. Balasubramaniam yang mengandungi respons kepada 52 soalan berhubung maklumat terbaru kes pembunuhan model wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu depan.

“Jawapan sudah disediakan... (seorang lagi peguam Balasubramaniam) Manjeet akan membawanya ke Kuala Lumpur minggu depan,” kata peguam Balasubramaniam, Americk Sidhu ketika dihubungi The Malaysian Insider melalui emel hari ini.

Ketika ditanya sama ada ia akan diserahkan kepada SPRM minggu depan, Americk berkata:

“Ya, kenyataan akan diserahkan (kepada SPRM) minggu depan dan, tidak, tiada apa-apa lagi yang perlu dilakukan oleh Bala selepas ini.”

The Malaysian Insider difahamkan sebelum ini SPRM memberikan tempoh kira-kira sebulan kepada Balasubramaniam untuk menjawab jawapan secara bertulis.

Difahamkan soalan-soalan itu berkaitan dengan elemen rasuah berhubung kes pembunuhan Altantuya dan akan membolehkan SPRM melengkapkan siasatan mereka berhubung aduan dibuat Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin ekoran pendedahan Balasubramaniam menerusi temu bualnnya di Singapura akhir tahun lalu.

Americk menerima soalan daripada SPRM menerusi kurier di hotel penginapannya di London awal minggu lalu.

Balasubramaniam awalnya mahu mengadakan pertemuan bersemuka dengan pegawai-pegawai kanan SPRM di London pada 5 Julai tetapi rancangan itu dibatalkan oleh suruhanjaya tersebut kira-kira enam hari sebelum itu.

Minggu lalu, Americk berkata, Balasubramaniam akan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan itu menerusi afidavit.

Tindakan mengambil keterangan secara akuan bersumpah atau afidavit itu diperuntukkan di bawah Seksyen 30(1)(c) Akta SPRM 2010.

SPRM membatalkan rancangannya untuk bertemu Balasubramaniam di London atas alasan implikasi undang-undang terhadap proses merakamkan percakapan saksi di luar negara.

Pada Mei lepas SPRM menyatakan kesediaan mengambil keterangan penyiasat persendirian, selepas dia bersetuju berbuat demikian.

Tiada ulasan: