Isnin, 15 Oktober 2018

Yang Berhemah bukan sekadar YB

Oleh Dr Ismail Sualman





 PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir baru minggu lalu mengingatkan kepada semua wakil rakyat yang bergelar Yang Berhormat (YB) dan ahli politik untuk bersedia menerima teguran atau apa jua bentuk komunikasi oleh rakyat.

Mereka perlu menerima apa juga kritikan dan mungkin cemuhan oleh penduduk setempat sebagai wakil rakyat. Mereka perlu menjadi pendengar yang baik. Bukan hanya meminta dan mengharap cerita-cerita yang menyenangkan atau mengagung-agungkan YB.

Memang mencabar menjadi wakil rakyat. Ini kerana YB berkhidmat untuk rakyat setempat. Sudah tentu dalam tugas harian YB berhadapan dengan kerenah dan bermacam persoalan. Tetapi perlu dilalui dengan penuh kesabaran dan ketabahan.

Penuh bersopan untuk menangani permasalahan rakyat yang tidak berkesudahan. Perlu dihadapi dengan penuh hikmah. Maka YB juga bermaksud Yang Berhemah, bukan sekadar Yang Berhormat seperti panggilan kebiasaan.

Rata-rata YB telah mengamalkan perkhidmatan dan berurusan dengan masyarakat dengan cara terbaik. Namun terkini gempar pula dengan perlakuan seorang YB yang berurusan dengan penduduk setempat, di luar dari kebiasaan. Di mana-mana menceritakan kisah ini yang menjadi polemik politik semasa.

Maka, perkara ini perlu menjadi iktibar. Semua ahli politik apatah lagi YB diminta menjaga adab semasa berkhidmat dalam keghairahan membela nasib rakyat. Mereka adalah ikon atau contoh yang diperhati dan dijadikan kayu ukur menilai prestasi sebagai YB.

Justeru, YB perlulah elakkan perkara seperti berbohong, mencaci, memfitnah, menghina, mengaibkan dan memaki hamun. YB mestilah mengawal pertuturan mahupun tingkah laku sebagai insan dan juga wakil kepada rakyat. Malah sepanjang berkhidmat agar tidak berlaku perkara keji yang boleh menjejaskan nama baik dan reputasi.

Memanglah sebagai manusia biasa terkadang kala, kita tidak mampu menahan kemarahan sehingga terhambur kata-kata kesat. Namun, apa juga keadaan atau perkara yang kita lakukan perlulah berhemah. Amalkan keperibadian mulia selain mengawal perlakuan, merupakan aspek psikologi yang perlu diamalkan kepada semua lapisan masyarakat apatah lagi berjenama YB.

Terkadang dek menghujah sesuatu fakta atau menerangkan sesuatu perkara kita terlupa semangat persaudaraan. Apatah lagi kepada mereka yang lebih tua. Segala permasalahan mesti ada jalan penyelesaiannya. Bukan terus mencabar atau mendabik dada sebagai YB, lalu mengecilkan pendapat atau maruah orang lain. Sehingga sering terlupa tentang etika dan adab yang perlu dijaga sebagai seorang YB.

Sering juga terdapat kecenderungan untuk mengalahkan lawan dengan hujah yang ada kalanya bersifat palsu, separuh benar dan ada yang berbentuk fitnah. Serangan peribadi dengan memburuk-burukkan lawan hendaklah dijauhi, kerana sikap ini bukan suatu yang asing dalam politik Malaysia.

Penggunaan media sosial secara agresif yang merupakan trend sebagai pemantau. Setiap gelagat akan dirakam dan diviralkan. Kadang-kadang ada juga gunanya media sosial begini, menyebarkan perkara yang tidak baik dengan tujuan menjadi iktibar dan pedoman.

Jika semasa berkempen dalam plihan raya sering kita dapati bakal-bakal YB bercakap dengan penuh sopan untuk memancing undi. Namun setelah bergelar YB lain pula ceritanya. Dunia komunikasi tanpa sempadan seperti penggunaan media sosial, menyebabkan ada kalanya YB tidak mempedulikan etika dan akhlak kerana terlalu ghairah sebagai wakil rakyat.

Parti politik, pihak pemerintah dan kerajaan mestilah mengawal, memantau dan menegur YB dan penyokong mereka supaya akur kepada arahan tidak melanggar etika dan adab semasa berkhidmat.

Paling penting, pemimpin yang bernama YB perlu menunjukkan contoh agar menjadi panduan yang boleh diteladani rakyat dan masyarakat setempat. Diharap selepas ini tiada lagi YB yang  menggunakan amalan politik lazim, seperti mengherdik, melabel dan menyerang peribadi. YB bukan sahaja Yang Berhormat, tetapi Yang Berkhidmat dan Yang Berhemah.

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, UiTM
 

Tiada ulasan: