Pusat-pusat pemilihan PKR 2018 di Terengganu mula ditutup secara berperingkat bermula pukul 5 petang semalam tanpa sebarang kejadian tidak diingini kecuali di Marang yang menyaksikan salah faham antara anggota.
Ketua Koordinator negeri Terengganu bagi pemilihan itu Amri Awang berkata keputusan akan dipapar menerusi laman web Pemilihan PKR 2018 di www.pemilihankeadilan2018.com secara berperingkat selepas semua cabang selesai mengundi.
Tinjauan Bernama di pusat pengundian di Dewan Orang Ramai Medan Jaya 1, Rusila, Marang mendapati sedikit kekecohan itu berlaku pada kira-kira 12 tengah hari tadi namun diselesaikan secara baik oleh pihak-pihak yang terlibat iaitu wakil calon Majlis Pimpinan Pusat dan wakil calon di peringkat cabang.
Menurut Pengarah Komunikasi PKR negeri Mohd Ajwad Mohamad Yusof, ini berpunca daripada pengagihan poster calon hingga timbul perang mulut yang terpaksa dileraikan oleh anggota PKR yang berada di tempat pengundian.
Manakala pengundian bagi cabang Hulu Terengganu di Dewan Homestay Kampung Buluh, Kuala Berang ditutup agak lewat ekoran 80 peratus daripada anggotanya adalah warga emas dan tidak arif dalam menggunakan sistem undian secara digital e-voting yang menyebabkan proses pengundian berjalan pelahan.
Selain itu pengundian cabang Besut dan Setiu, masing-masing di Dewan Kompleks Rakan Muda Besut dan Dewan MDS Sungai Tarom, Bandar Permaisuri, ditutup pada kira-kira pukul 6 petang tadi.
Seramai 11,965 anggota PKR Terengganu hari ini berpeluang memilih kepimpinan di peringkat pusat dan cabang negeri.
Berdasarkan laman web itu, seramai 22 calon bertanding merebut jawatan ketua cabang manakala kira-kira 447 calon lagi menawarkan diri untuk jawatan timbalan ketua cabang, naib ketua cabang dan anggota jawatankuasa cabang.
Jawatan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) adalah posisi paling banyak calon menang tanpa bertanding iaitu di cabang Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Dungun.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan