Jumaat, 12 Oktober 2018

‘Lain kali, fikir sebelum cakap’

MALASIAKINI




Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan supaya berfikir sebelum membuat sebarang kenyataan terlebih dahulu.

“Bercakap sebelum berfikir itulah jadinya. Dulu bila bercakap ikut sedap cakap, tidak fikir implikasinya...

“Lain kali fikir... buat kajian dulu sebelum buat satu-satu kenyataan. Jangan ikut hati, sekarang sendiri menyesal,” kata Tajuddin yang dipetik oleh portal Umno Online.

Ahli majlis tertinggi Umno itu mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan.

Pengerusi HARAPAN itu juga menyifatkan manifesto gabungan berkenaan seperti janji untuk menghapuskan tol, sebagai beban yang besar buat kerajaan hari ini.

"Kami mewujudkan manifesto itu dengan memikirkan bahawa kami tidak akan menjadi kerajaan. Sekarang kami adalah kerajaan dan manifesto ini merupakan beban yang besar,” katanya.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata kenyataan Mahathir membuktikan bahawa HARAPAN hanya pandai berjanji bulan dan bintang semata-mata untuk menipu rakyat dan memburukkan reputasi BN.

“Sebab itu, semasa BN menjadi kerajaan, kita sentiasa berpijak di bumi yang nyata. Telah banyak kali kita ingatkan bahawa HARAPAN ketika itu hanya pandai menabur janji kerana bukan mereka yang menjadi kerajaan.

“…ini berbeza dengan BN yang tidak mahu menjadi populis kerana kita tahu kenyataan sebenar. Kalau kita berjanji tetapi kita tidak mampu menunaikan itu maknanya menipu. Kita bukan penipu seperti HARAPAN.

“Tapi sayangnya rakyat terlalu percaya kepada gula-gula yang ditaburkan oleh pembangkang ketika itu sehingga membuat pilihan yang salah pada pilihan raya yang lalu. Kini kebenaran terbukti juga,” katanya.

Justeru, kata anggota pralimen Pasir Salak itu, inilah yang terpaksa rakyat terima akibat terpedaya dengan fitnah HARAPAN sehingga menggulingkan sebuah kerajaan yang selama ini sentiasa menjaga kebajikan rakyat dan negara.

Mungkir janji terbesar HARAPAN

Mengulas isu yang sama, Ketua Penerangan Umno, Datuk Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan
pengakuan Dr Mahathir bahawa lebuh raya tanpa tol di Malaysia sesuatu yang mustahil sebagai antara mungkir janji terbesar dalam manifesto HARAPAN.

Justeru, katanya, kerajaan harus mengakui hakikat kegagalan mereka untuk menunaikan janji-janji mereka.

“Janganlah terus menggunakan helah hutang negara, ekonomi serta menyalahkan aliran atau trend dunia terhadap penarikan modal pelabur asing dan kemerosotan nilai ringgit, apatah lagi menyalahkan kerajaan terdahulu kerana kelemahan kerajaan.

“Hakikatnya kerajaan HARAPAN dan perdana menteri sebenarnya sama sekali gagal mengurus Malaysia di zaman siber ini,” kata Shamsul Anuar dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut pemimpin Umno itu, biarpun Dr Mahathir mendakwa cuba menghalang perkara itu dimasukkan sebagai manifesto HARAPAN, ini tidak boleh diterima.

Ini kerana, katanya, rakyat tidak pernah pun terdengar atau terbaca mengenai tentangan beliau itu sebelum PRU14.

“Bagi kita itu semua adalah alasan semata-mata. Malah beliau sendirilah yang menjadi 'Bapa Jalan Raya Bertol' Malaysia di zamannya sebagai perdana menteri keempat. Apatah lagi kebanyakan pemegang konsesi tol adalah mereka yang rapat dengannya.

“Lebih pelik apabila beliau membuat kenyataan itu di luar negara, seolah-olah mahu mengelakkan soalan bertalu-talu wartawan di negara sendiri,” katanya.

Shamsul Anuar kemudian memberi contoh sebagaimana janji mengenai PTPTN dan hasrat memansuhkan semua hutang peneroka Felda yang tidak akan tertunai, oleh kerajaan HARAPAN.

Katanya, tindakan itu ternyata meluruhkan harapan banyak pihak yang mengundi mereka dalam PRU14 lalu.

“Kita harap akuilah hakikat bahawa kerajaan gagal menunaikan janji.

“Hakikatnya kini jelaslah bahawa 'sokongannya' terhadap manifesto HARAPAN dahulu semata-mata bertujuan menggula-gulakan pengundi bagi menjatuhkan BN dan memilih semula beliau ke tampuk kuasa,” katanya.

Beliau turut memberi contoh pembinaan Lebuhraya Pan Borneo oleh BN sebagai bukti bahawa kerajaan dahulu lebih mampu menyediakan lebuh raya tanpa tol kepada rakyat.


Tiada ulasan: