Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak menegaskan yang parti itu tidak perlu mempertahankannya terhadap segala pertuduhan dan fitnah dihadapinya kini.
Malah Najib berkata, beliau juga tidak berhasrat untuk kembali menjadi Presiden UMNO dan mahu kepemimpinan parti itu yang ada kini diberi kepercayaan untuk membuktikan kepemimpinan mereka.
Bagaimanapun Najib berkata, beliau akan bersuara bagi mempertahankan dirinya daripada sebarang fitnah serta bersuara untuk kepentingan rakyat.
“UMNO tidak perlu mempertahankan saya terhadap fitnah yang dilempar terhadap saya. Melalui perbicaraan yang adil, saya yakin dapat mempertahankan diri saya. Saya juga yakin tidak bersalah terhadap segala pertuduhan yang dibuat. Kesalahan saya hanyalah kerana melakukan yang terbaik demi rakyat, negara dan parti saya.
“Segala tuduhan dan fitnah adalah terhadap saya dan bukan UMNO. Tidak adil untuk UMNO menanggung beban ini.
“…Apapun, saya juga masih lagi Ketua Bahagian UMNO dan Ahli Parlimen. Saya juga mempunyai pengalaman dan pengetahuan dengan apa yang berlaku dalam kerajaan lalu.
“Oleh itu, saya akan terus bersuara terhadap apa-apa isu yang menjejaskan rakyat dan negara ini.
Saya berhak menggunakan kebebasan bersuara saya dan berhak mempertahankan diri saya jika timbul lagi sebarang tuduhan dibuat terhadap saya atau kerajaan Barisan Nasional (BN) lalu,” katanya dalam satu catatan di Facebooknya.
Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Johari Abdul Ghani mempersoalkan kehadiran Najib yang turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.
Nada sama juga disuarakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin yang menyifatkan UMNO perlu menjarakkan diri daripada Najib.
Manakala Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa pula menyifatkan Najib sebagai bebanan yang tidak mampu ditanggung oleh UMNO.
Sementara itu, mengulas mengenai kehadirannya ketika kempen PRK Sungai Kandis, Najib berkata beliau hanya membantu calon BN, Datuk Lokman Noor Adam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan