Oleh Hafiz | Foto: Hasful Zainuddin
Wakil DAP Kelantan Mohd Fauzi Mohd Azmi menempelak sikap pemimpin-pemimpin kerajaan PAS Kelantan yang gagal membela hak minoriti Orang Asli Temiar di Gua Musang yang berdepan krisis tanah akibat pencerobohan dan pembalakan.
“Kita nak perkara ni diselesaikan, dirundingkan. Dia (PAS) bercakap tentang Islam ada ajar tentang hak.
“Kalau kerajaan negeri ada hak untuk luluskan pembalakan dan ladang, pembalak dan peladang pula ada hak mohon mana-mana tanah, bagaimana pula mana hak Orang Asli?” katanya kepada Roketkini.
Beliau berkata demikian ketika turut serta mengiringi lebih 200 masyarakat Orang Asli di Putrajaya bagi menghantar memorandum kepada Perdana Menteri berhubung pengiktirafan dan perlindungan wilayah adat hari ini.
Menurutnya, pencerobohan wilayah adat yang sudah berlaku sejak lebih lima tahun lalu gagal diselesaikan kerajaan negeri apabila rundingan hanya dilakukan ‘sesama sendiri’.
“Tak pernah pun Menteri Besar atau Timbalan turun padang untuk rundingan. Rundingan hanya dilakukan bersama puak-puak dia sahaja.
“Dia hanya panggil Orang Asli yang terlibat dengan Ladang Rakyat, yang terlibat dengan pembalakan runding sesama dia. Tak libatkan jaringan, tak libatkan Orang Asli yang duduk di pedalaman.
“Jadi dia runding dengan orang yang tak tahu. Seolah-olah masalah orang kampung, dia runding dnegan orang bandar. Yang dirunding pula hanya dengan tok-tok batin lantikan (kerajaan negeri).
Masing-masing pulak terima gaji dari kerajaan negeri, runding dengan orang yang ‘aku bayar ke mu’ – ini tak adil,” ujarnya.
Seperti yang dimaklumi, Fauzi menjelaskan masyarakat Orang Asli bukan meminta kerajaan terus menghentikan semua pembalakan tetapi apa yang terpenting ia perlulah melibatkan rundingan supaya keputusan tidak merugikan mana-mana pihak dan jangan hanya menguntungkan sebelah pihak.
“Tanah-tanah adat jangan kacau, banyak lagi kawasan lain.
“Takkan nak tunggu Orang Asli ini berkampung di rumah MB, di rumah Timbalan MB. Macam mana perasaan awak kalau tiba-tiba orang masuk ke rumah awak, ke tanah awak buat macam rumah sendiri.
“Macam itulah juga bila kita masuk ke rumah orang, kita buat macam kawasan sendiri. Sungai kita kacau, pokok kita kacau, kubur kita kacau, penempatan dia kita kacau belaka. Tak bolehlah macam ni,” katanya lagi. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan