Ahad, 12 Ogos 2018

Dr Mujahid, jadilah ‘gay’

 

   
ULASAN | Seorang anak buah saya, warga Amerika, umurnya 12 tahun. Dia bercuti sebulan setengah, pulang ke Malaysia.

Dia pulang ke Malaysia ketika ada cerita panas tentang LBGT. Dia tak tahu itu. Dia tidak membaca berita tentang negara ini. Baginya, bagi abang dan kakaknya yang berbeza empat dan tiga tahun lebih tua, “family first”: keluargalah yang perlu diutamakan.

Selepas keluarga, barulah negara mereka: Amerika Syarikat. “Family first” adalah “nilai Amerika” yang ketiga-tiganya belajar di sekolah. Dan memang sistem pendidikan AS—bagi sesetengah orang mengecamnya sebagai ‘sistem Barat’ atau ‘kafir’ itu—mengajarkan bahawa keluarga adalah perkara utama waima dalam hidup bernegara.

Dalam kata lain, negara pun tidak boleh menandingi keluarga. Apatah lagi hal-hal lain. Begitulah asas patriotisme Amerika dibentuk. Seolah-olah keluarga adalah negara, negara adalah keluarga.

Umurnya 12 tahun seperti yang saya tuliskan tadi. Sehinggalah dalam satu perbualan kami, dia memberi komen tentang maksud “gay”. Katanya, gay mempunyai dua makna dalam perbendaharaan kata bahasa Inggeris.

Makna pertama adalah makna yang dikecam ramai orang. Gay, jelasnya, bermaksud seseorang lelaki yang suka kepada pasangan sejenis. Sementara maksud kedua, jelasnya lagi, “gembira” (“happy”).

Maksud kedua itu adalah pengertian yang lebih lama dipakai bagi tamadun manusia. Bukan pengertian pertama. Dan dia pun memberikan contoh ayat, “Hey Uncle Hasmi, I am so gay for you!”

Terjemahan dalam bahasa Melayu, “Hei Pakcik Hasmi, saya gembira untuk anda!”

Di waktu lain, anak buah saya itu ngobrol dengan kakaknya. Dia merasa aneh dengan lelaki yang menyukai kaum sejenis. Jawab sang kakak, “jangan tindas dan bersikap berat sebelah terhadap mereka.”

Jawab sang adik, “ya, tetapi tetap aneh!”

Di dalam masyarakat yang terbuka seperti Amerika Syarikat itu pun, menyukai kaum sejenis tetap dilihat aneh.

Aneh bukan kerana sesiapa yang menyebut atau mengajarkannya sebagai aneh, tetapi daripada rasa awalnya sendiri sudah pun begitu. Perasaan awal itulah barangkali yang disebut dalam Islam sebagai “fitrah”.

Tetapi Amerika tidak memakai hujah agama bagi berhadapan dengan individu LBGT. Terutama begitu rencam dan banyaknya agama di sana.

LBGT pun ‘mati’

Kalau dipakai hujah Islam, maka tidak sampai ke hati penganut agama lain. Begitulah kalau diguna pun hujah dari Kristian, misalnya, juga terhad kepada penganut Kristian sahaja.

Oleh itu, bagi pemerintah Amerika Syarikat, apa yang mustahak perlu diajarkan di sekolah ialah keluargalah yang pertama: family first. Mencintai keluarga dan darah daging sendiri. Sementara mana-mana kelompok LBGT, mustahil mereka dapat melahirkan zuriat sebagai unit asas yang membentuk sistem kekeluargaan.

LBGT pun ‘mati’. Mati tanpa dibunuh.

Anak-anak saudara saya itu, dalam hatinya pun tahu, tanpa keluarga, ibu-ayah atau datuk-neneknya, maka mereka takkan lahir di dunia ini. Bagaimanakah sistem ibu-ayah, datuk-nenek, lelaki-perempuan boleh menjadi pilihan kedua atau serata dengan sistem sejenis manusia?

Tanpa ‘dihasut’ atau didakwah lebih lanjut pun, mereka yang sedang menjalani proses remaja tidak akan sanggup menjadi mana-mana kelompok dalam kategori LBGT. Namun, sekali lagi tidak pula sampai mahu memalukan, menindas atau memukul golongan itu.

Di sini, kita harus bergembira atau dalam bahasa Inggerisnya, “gay” terhadap menteri agama, Dr Mujahid Yusuf Rawa yang hampir jelas jalan pemikirannya dengan anak-anak saudara saya. Maksud saya, dengan sistem pendidikan di Amerika yang maju, yang perlu kembali mengajarkan anak-anak kita bahawa keluarga adalah yang terpentingnya dalam sistem sosial.

Sejauh mana pun atuk-nenek mereka, dan walaupun berbeza warganegara, mereka pasti akan pulang. Menjejak manusia yang kerananya mereka ada di muka dunia.

Menafikan kenyataan ini adalah kebiadapan. Bukan kepada negara—Malaysia atau Amerika—tetapi kepada diri mereka sendiri.

Selepas habis berbual, kami perlu berlalu. Dia membuka pintu kereta kepada saya. Sambil menghulur tangan dan meminta saya masuk dahulu, sambil katanya, “Uncle Hasmi, ladies first!”

Begitulah dia berjenaka. Terbahak saya ketawa.


*HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Tiada ulasan: