Selasa, 21 Ogos 2018

Armada Selangor bidas pemimpin MCA cabar DAP halang kongres bumiputera

 
Armada Selangor bidas pemimpin MCA cabar DAP halang kongres bumiputera


Kenyataan Naib Presiden MCA Chew Mei Fun mencabar Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng supaya melarang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada mengadakan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN) pada 1 September 2018 ini, adalah sangat melampau dan bertentangan dengan semangat Perlembagaan Negara.

Ketua Armada Bersatu Selangor Adhif Syan Abdullah berkata, pemimpin MCA itu mungkin lupa bahawa Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB)yang dipengerusikan oleh bekas Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

MEB ditubuhkan selepas Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pada September 2013.

“Tidak pula kelihatan apa-apa halangan, kritikan mahupun komen dari mana-mana pemimpin MCA ketika itu.

“Tambahan lagi, KBN penting dalam merumuskan agenda pemerkasaan bumiputera dalam konteks Malaysia baru. Bagaimanakah Malaysia mahu maju sekiranya ekonomi bumiputera tidak dimajukan?

“Sedangkan 60 peratus penduduk Malaysia terdiri dalam kalangan orang Melayu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Chew Mei Fun

Beliau mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden MCA Chew Mei Fun seperti dilaporkan Malaysiakini semalam, menggesa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tidak menggunakan sentimen perkauman menjelang pilihan raya kecil (PRK) Balakong dan sebaliknya mencabar beliau menghentikan Kongres Bumiputera.

Kenyataan itu dipercayai merujuk Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN) 2018 yang akan diadakan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada 1 September depan.

Menurut Adhif Syan lagi, tindakan MCA mahu melarang perbincangan kepentingan ekonomi bumiputera mengesahkan lagi bahawa MCA sudah tidak relevan lagi dalam arus politik tanahair.

“Pandangan MCA ini seolah-olah mendesak kerajaan Pakatan Harapan agar tidak menjaga kepentingan hak bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Negara. Sedangkan Kerajaan Pakatan Harapan benar-benar ikhlas mahu menjaga hak kesemua kaum sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.

” Tindakan MCA ini dilihat cenderung kepada sikap anti-Melayu/Bumiputera dan seolah-olah memberi indikasi bahawa mereka sebenarnya berkeinginan melihat hak bumiputera dihapuskan.

“Ia juga bukti jelas kegagalan Umno, selepas lebih dari 40 tahun, untuk mendidik MCA tentang kepentingan menjaga hak orang Melayu dan membangunkan ekonomi mereka.

“Lebih aneh lagi apabila Pas pula begitu gembira menyokong serta mempromosikan MCA dalam PRK Balakong,” ujarnya.

Justeru Armada Selangor ingin mengingatkan MCA agar tidak terlalu sombong dan meninggi diri. Ini kerana kemenangan MCA sejak dari awal kewujudannya, banyak dibantu oleh pengundi Melayu.

“Jika inilah sikap yang dibawa MCA, kami berpendapat sudah tiba masanya orang Melayu, bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia menolak parti ini.

“MCA seakan-akan tidak mahu berubah biarpun kalah begitu teruk sekali pada PRU14 yang lepas. Mereka berterusan sengaja menafikan sejarah dengan niat memecahbelahkan kaum.

“Ini sedikit pun tidak memeranjatkan kerana Modus Operandi yang sama digunakan rakan karib mereka dari Umno dan juga Pas.

” Armada Selangor mengajak rakyat Malaysia, khususnya pengundi di Balakong, agar terus menolak sikap rasis dan meninggi diri MCA ini dengan mengundi Pakatan Harapan,” ujarnya.

Tiada ulasan: