TANAH MERAH - Tindakan pantas polis berjaya menahan suami isteri disyaki terbabit dalam kes penculikan bayi perempuan di Hospital Tanah Merah (HTM), semalam, kira-kira sejam selepas menerima laporan.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, suspek lelaki berusia 26 tahun dan wanita berusia 23 tahun itu ditahan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Alor Hijau, Bukit Tanah, dekat Selising, Pasir Puteh kira-kira jam 11.30 malam.
"Polis terima maklumat daripada HTM pada jam 10.28 malam yang memaklumkan seorang bayi berusia empat hari hilang di Wad Kanak-Kanak hospital berkenaan.
"Hasil siasatan awal, kita dapat kesan alamat rumah ini melalui nombor MyKad suspek lelaki yang ditulis pada buku rekod keluar masuk wad kanak-kanak itu ketika bawa keluar bayi terbabit," katanya, hari ini.
Suzaimi berkata, susulan maklumat tersebut, beliau meminta bantuan Ketua Balai Polis Selising untuk ke lokasi itu dan menemui seorang lelaki bersama seorang wanita sedang mendukung bayi di hadapan sebuah rumah.
"Suspek wanita berkeras bayi itu anak dia dan mendakwa bersalin pada 8 November di HTM tetapi hasil semakan, tidak ada nama suspek dalam rekod bersalin di HTM pada tarikh tersebut.
"Pasangan terbabit kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah bersama bayi terbabit," katanya.
Tambahnya, susulan penahanan itu, polis merampas satu beg bayi dan beberapa barangan termasuk Buku Rekod Kesihatan Ibu atas nama suspek wanita, Buku Rekod Kesihatan Bayi dan Kanak-kanak atas nama ibu bayi terbabit serta pakaian bayi.
"Siasatan awal mendapati, suspek wanita ini pernah bersalin pada Jun lalu tetapi bayinya gagal diselamatkan (keguguran), namun kita tidak tahu dan masih menyiasat motif sebenar.
"Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan