Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Konvensyen
Pakatan Harapan (PH) di Shah Alam, Sabtu lalu, ditunggu oleh banyak
pihak kerana ia merupakan konvensyen pertama PH sejak ditubuhkan pada 22
September 2015. Sejak diwujudkan, tidak banyak program penyatuan rasmi
PH melainkan pemeteraian Perjanjian PH pada 9 Januari 2016 bagi mengikat
kesemua parti mengenai prinsip dan kaedah dalam membina kesatuan
politik.
Sewaktu mengumumkan pemeteraian Perjanjian PH, Ketua Sekreteriat PH,
Datuk Saifuddin Abdullah, menyebut betapa tumpuan seterusnya PH adalah
untuk membentuk dokumen Dasar-Dasar Bersama PH ke arah mencari
penyelesaian berkesan kepada masalah rakyat. Dokumen ini dijanji untuk
diumumkan di Konvensyen PH yang dijadual diadakan menjelang Jun 2016.
Disebutkan waktu itu betapa Dasar-Dasar Bersama PH ini ada kelainan
kerana lebih radikal dan memberi fokus terhadap isu-isu utama rakyat.
Ini bagi meyakinkan rakyat PH adalah pilihan terbaik untuk membela
kepentingan mereka. Antara perkara yang dijanji untuk diberi penekanan
adalah bagaimana PH menangani isu kebajikan dan sosioekonomi serta
politik pengundi Melayu.
Jun 2016 berlalu tanpa konvensyen dijanjikan. Sebaliknya, Majlis
Presiden PH pada 12 Julai 2016 mengakui PH mempunyai pelbagai kelemahan
yang perlu diselesaikan dengan segera agar kepentingan rakyat
didahulukan. Pembentangan dan rundingan dengan rakyat mengenai
Dasar-Dasar Bersama PH yang menyeluruh akan dipercepatkan supaya tumpuan
kembali kepada rakyat.
Di sebalik pelbagai isu besar dalam negara baik membabitkan parti
pembangkang mahupun parti kerajaan, Majlis Presiden PH terus lesu tidak
bermaya. Mesyuarat Majlis Presiden PH hanya mampu dilangsungkan pada 12
Oktober dengan memutuskan Konvensyen PH diadakan pada 12 November
bertujuan untuk menzahirkan komitmen pembentukan gabungan pembangkang
yang kuat.
Pada 24 Oktober, dalam majlis pelancaran buku “The End of UMNO?”,
Saifuddin, sewaktu menjawab kenyataan Datuk Ambiga Sreenevasan yang
menyifatkan PH tidak menunjukkan kesediaan untuk menggantikan BN,
termasuk kegagalannya mengumumkan kabinet bayangan atau bakal Perdana
Menteri, menyebut nama bakal Perdana Menteri akan diputuskan di dalam
Konvensyen PH.
Menjelang berlangsungnya Konvensyen PH pula, bertiup khabar bahawa
majlis ini akan menyaksikan termeterainya Perjanjian Kerjasama PH dan
PPBM. Malah, deraf yang membutirkan empat perjanjian antara mereka juga
menunjukkan kesemuanya telah siap dirangka oleh PH ke arah
merealisasikan kewujudan gabungan pembangkang yang kuat dalam Pilihan
Raya Umum Ke-14 (PRU 14).
Butiran perjanjian tersebut membabitkan persetujuan mereka untuk
berjuang dengan berlandaskan kepada peruntukan dan semangat Perlembagaan
1957/63; memperjuangkan agenda reformasi; meletakkan satu calon di
dalam sesuatu pilihan raya; dan berusaha berunding dengan parti yang
belum berada di dalam perjanjian untuk memastikan pertandingan satu
lawan satu dengan BN.
Begitupun,
Konvensyen PH tercemar dengan demonstrasi NGO Pro PH/Sayangi PH dan
Kelab Penyokong PH Malaysia membantah penyertaan PAS dalam PH. Di dalam
memorandumnya kepada pemimpin PH, mereka merayu agar PH, PPBM dan
WARISAN memutuskan sebarang kerjasama atau rundingan dengan PAS yang
didakwa merugikan dan hanya melambatkan gerak kerja mereka.
Sentimen menolak kerjasama atau rundingan dengan PAS, yang disertai
dengan pelbagai sindiran terhadap PAS, bergema di dalam Konvensyen PH
oleh sesetengah pemimpin PKR, Amanah dan DAP. Masa yang sama, sesetengah
pemimpin lain konsisten menekankan keperluan untuk memastikan
pertandingan satu lawan satu dengan BN sekali gus bersikap positif
dengan PAS.
Begitu juga Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang di dalam
ucapannya turut menyentuh keperluan menyatukan barisan pembangkang,
dengan menyebut betapa pertandingan tiga penjuru melawan BN dalam
Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar baru-baru ini
telah memberikan kemenangan mudah kepada BN walaupun ia dilihat
menghadapi permasalahan.
Muhyiddin secara tidak langsung menempelak pemimpin PH bila meminta
majlis menandatangani perjanjian ditangguhkan dahulu untuk memberikan
masa yang cukup kepada semua pemimpin PPBM dan PH berbincang. Antara
lain, beliau menyebut keperluan untuk merangka dasar-dasar bersama yang
berpaksikan kepentingan rakyat yang akan dijadikan asas pembuatan
dasar-dasar negara.
Memalukan bagi pemimpin PH bila janji mereka untuk mengumumkan
Dasar-Dasar Bersama PH di dalam konvensyen mereka gagal ditepati. Ia
menjadi petanda ketidakseriusan mereka menangani permasalahan rakyat dan
ketidaksediaan mereka memerintah negara. Apatah lagi bila ketiadaannya
digunakan pula oleh Muhyiddin untuk menangguhkan Perjanjian Kerjasama PH
dan PPBM.
Lebih memalukan apabila pemimpin bawahan seperti Ketua Pemuda DAP,
Wong Kah Woh, pula yang mengingatkan pemimpin PH supaya mengurangkan
cerita keburukan BN sebaliknya melebihkan hebahan mengenai penyelesaian
masalah rakyat. Kata beliau, pengundi hari ini mahu tahu sama ada PH
sedia membentuk kerajaan dan apa PH akan lakukan sekiranya berjaya
menjadi kerajaan.
Begitu juga dengan pemimpin seperti Timbalan Ketua Wanita Amanah,
Aiman Athirah Al Jundi, yang menyeru PH supaya menyediakan dokumen
agenda Melayu Islam dalam mendepani kebimbangan pengundi Melayu Islam
pada PRU 14. Kalau PH gagal mengeluarkan tawaran dokumen agenda baru
Melayu Islam ini maka UMNO akan terus berkuasa selepas PRU 14, katanya.
Apa yang jelas, Konvensyen PH bukan sahaja gagal mengumumkan
Dasar-Dasar Bersama PH yang dijanjikan oleh Saifuddin, tetapi juga gagal
memenuhi janji beliau untuk menentukan nama bakal Perdana Menteri. Di
sebalik gesaan sama Timbalan Presiden Amanah, Salahudin Ayub, selaku
pembahas pertama, isu ini dimatikan terus oleh Penasihat PPBM, Tun Dr
Mahathir Mohamad.
Di dalam ucaptama beliau, Mahathir menyebut perkara utama dalam
perjuangan pembangkang sekarang ini ialah untuk menyingkirkan Datuk Seri
Najib Razak. Dalam sidang media beliau pula, disebutkan keperluan
menguasai Putrajaya dahulu. Selepas menang barulah boleh dinamakan
sesiapa sahaja daripada parti yang memenangi kerusi terbanyak untuk jadi
Perdana Menteri, katanya.
Tidak hairanlah jika ada yang berkata Konvensyen PH ini telah
dirampas oleh Mahathir. Tiada lain selain keburukan Najib yang diucapkan
beliau, termasuk tuduhan terbaru beliau kononnya pilihan raya di bawah
Najib lebih buruk dpd pilihan raya di mana-mana negara di dunia, dan
kononnya BN menang dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar kerana
pengundi disogokkan wang.
Pada akhirnya, tiada apa yang diputuskan secara rasmi dalam
Konvensyen PH ini. Hakikat ini terbukti apabila slot “Resolusi” di dalam
aturcaranya ditiadakan terus. Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail, boleh sahaja berpantun mengenai tekad ‘satu lawan satu’ dan
Mahathir boleh terus berkokok mengenai tekad ‘satu logo satu manifesto’,
tetapi realitinya lain.
Kewujudan Amanah dalam PH adalah bagi menggantikan tempat PAS dalam
Pakatan Rakyat (PR). Jika PH-PPBM bekerjasama dengan PAS, di manakah
lagi relevannya Amanah dalam PH? Apatah lagi dengan pelbagai sindiran
pedas dilontarkan seperti ‘Pak Haji yang korupsi’, ‘dapat dedak’ dan
sebagainya yang sudah tentulah akan menjauhkan lagi PAS daripada mereka.
Dr Kamarul Zaman Yusoff, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan