Selasa, 15 November 2016

Ibu muda harungi banjir bersama bayi berusia 24 hari

THE MALAYSIAN  TIMES


BANJIR_KELANTAN


BERUAS: Seorang ibu muda yang dalam berpantang terpaksa mengharungi banjir membawa bayi lelakinya berusia 24 hari untuk berpindah ekoran rumah mereka di Kampung Kilang, di sini dinaiki air malam tadi ekoran fenomena air pasang besar.

Nur Munirah Othman, 26, bersama bayinya Muhammad Raikal Mohd Rizal kemudian diangkat oleh sepasukan anggota penyelamat, meninggalkan rumah kayu setingkat mereka.

Turut berpindah bersama mereka ialah emak ibu tersebut Saadiah Lan, 54, dan neneknya yang terlantar kerana strok.

“Belum sebulan anak kedua saya lahir tetapi saya terpaksa gagahkan diri biarpun air banjir sejuk terasa sampai ke tulang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat pemindahan banjir di Dewan Inderawati di sini hari ini.

Tujuh kampung di mukim Beruas dilanda banjir kilat sedalam satu meter berikutan fenomena air pasang besar yang menyusuli hujan lebat sejak pukul 2 petang semalam.

Suri rumah itu berkata beliau dan keluarga terpaksa mengharungi air untuk menaiki kenderaan Bomba dan Penyelamat dan mereka dibawa ke pusat pemindahan banjir.

Menurut Nur Munirah, kawasan rumah emaknya itu memang selalu dinaiki air dan ini merupakan pengalaman kali pertama beliau berpantang di pusat penempatan banjir.

“Memang saya rasa tidak selesa kerana tidak dapat berehat dan bertungku seperti di rumah, namun saya tidak ada pilihan lain melainkan berpindah,” katanya.

Saadiah pula berkata air Sungai Beruas yang terletak kira-kira 50 meter di belakang rumahnya masuk mendadak kira-kira 7.30 malam ketika mereka sekeluarga sedang berehat.

“Mak cik hanya sempat menyelamatkan beberapa barang termasuk dokumen peribadi yang penting kerana perlu menumpu perhatian kepada emak yang lumpuh selain anak dan cucu saya,” katanya.

“Lain-lain barang seperti perabot dan perkakas elektrik banyak ditenggelami air,” katanya. Bernama


Tiada ulasan: