BORHAN AHMAD
Lima parti iaitu PKR, DAP dan Amanah bersama dengan Bersatu dan
Warisan Sabah bergabung tenaga hari ini bagi mempertahankan hak dan
keistimewaan ahli parlimen.
Pemimpin utama kelima-lima parti itu duduk di atas satu pentas di bangunan Parlimen bagi menyatakan sokongan itu.
Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden Bersatu
Tan Sri Muhyidin Yasin dan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafei Apdal
duduk bersama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Ketua
Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid
Yusof Rawa.
Turut hadir adalah ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar tetapi dipercayai mewakili dirinya sahaja bukannya Pas.
Kedatangan Mahathir ke parlimen hari ini adalah buat pertama kalinya
selepas 13 tahun melepaskan jawatan dalam kerajaan dan kini menyertai
pembangkang.
"Persetujuan kami hari ini adalah lambang kesepakatan bersama untuk
mempertahankan hak dan keistimewaan ahli parlimen untuk bertanya
sebarang soalan," kata Datuk Dr Mujahid yang mewakili Amanah dalam
majlis ini kepada Malaysia Dateline.
Beliau menegaskan, langkah Menteri Kewangan Kedua yang menjawab semua
soalan mengenai 1MDB ketika penggulungan semalam membayangkan ia tidak
salah sebagaimana yang diputuskan speaker sebelum ini.
Ketika ditanya kenapa Pas tidak hadir, Mujahid berkata, inilah
kerugian besar Pas apabila tidak menganggap agenda sebegini adalah
agenda bersama mereka.
"Ia menyebabkan parti itu terketepi dari arus politik utama negara," kata bekas AJK Pas Pusat itu.
Sidang hari ini diadakan ekoran tindakan speaker menyifatkan tindakan
tiga bekas menteri kabinet membangkitkan isu 1MDB dan beberapa isu lain
dalam parlimen adalah satu tindakan yang melanggar sumpah mereka
sebagai menteri kabinet.
Ekoran itu, ketiga-tiga mereka disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan ada juga disiadat di bawah Akta Hasutan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan