dikemaskini- Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz menggunakan kuasanya untuk menghalangnya membuat sidang media di lobi parlimen.
Rafizi menegaskan Nazri seharusnya sedar bahawa Parlimen adalah
institusi tertinggi milik rakyat dan larangan tersebut akan merendahkan martabat dan kedudukan Parlimen.
"Pada fikiran saya, Datuk Seri Nazri Aziz sekali lagi mengambil tindakan yang berunsurkan "konflik kepentingan" kerana sidang-sidang media yang akan datang mungkin akan berkisar mengenai beliau.
"Sebelum ini beliau tidak pernah mempunyai apa-apa halangan dengan sidang media yang dibuat di Parlimen," kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi mengulas larangan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini mengenai penggunaan sudut sidang media di lobi parlimen oleh mereka yang bukan ahli parlimen.
Larangan lisan tersebut berkuat kuasa serta merta kerana tidak mahu sudut bertulisan 'Parlimen Malaysia Sidang Media' disalahguna oleh mereka yang bukan ahli parlimen.
Mengulas lanjut, Rafizi sebaliknya berkata Parlimen wajar disemarakkan dengan isu rakyat baik di dalam atau luar dewan.
"Tindakan Datuk Seri Nazri Aziz dan pengurusan Parlimen menghadkan akses rakyat biasa untuk ke Parlimen dan bersuara melalui sidang media hanya akan merendahkan martabat dan kedudukan Parlimen," katanya.
Rafizi turut membidas Nazri "yang langsung tidak bersuara" membantah siri sidang media di parlimen berhubung pembongkaran isu National Feedlot Corporation (NFC) yang dikaitkan dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Bagaimanapun, tegas Rafizi, apabila Nazri menjadi "sasaran" sidang media berhubung dakwaan hubungan beliau dan jutawan balak Michael Chia, sejak kebelakangan ini, maka timbul soal hak menggunakan parlimen untuk sidang media.
"Sebab itu saya terus mengulangi saranan saya supaya Datuk Seri Nazri Aziz mengambil sikap yang lebih terbuka dan tenang seperti Datuk Seri Shahrizat Jalil dalam menghadapi persoalan mengenai integriti dan perhubungan beliau dengan ahli perniagaan yang disiasat," katanya.
1. Parlimen larang bukan MP adakan sidang media
Tiada ulasan:
Catat Ulasan