Aedi Asri
KUALA LUMPUR : Kerajaan Umno BN didesak membatal Mahindra
Rajapaksa ke Malaysia berikutan Presiden Sri Lanka itu dilabel
penjenayah antarabangsa selepas terlibat membunuh 200,000 rakyat negara
berkenaan.
Jurucakap Angkatan Prihatin Insan Mangsa Perang Sri Lanka (API), Raja
Retinam kesal kerana Datuk Seri Najib Razak memberi layanan ‘karpet
merah’ kepada Rajapaksa.
“Dalam
50 tahun, hampir 200,000 orang, kebanyakannya masyarakat Tamil, dibunuh
dan 500,000 lagi hilang tempat tinggal. Ini berlaku Sri Lanka, tidak
jauh dari Malaysia.
“Mereka jadi pelarian di merata negara termasuk Malaysia. Kenapa
Perdana Menteri tak faham (dan) beri layanan karpet merah?” katanya
ketika ditemui pada perarakan aman di Brickfields hari ini.
Seramai 50 orang menyertai perarakan aman membantah kehadiran
Rajapaksa. Laporan polis turut dibuat tentang perkara ini di Balai Polis
Jalan Travers.
Antara pimpinan Pakatan Rakyat yang hadir adalah Naib Presiden
KEADILAN N Surendran, Ahli Parlimen Kapar S Manickavasagam dan Ahli
Parlimen Teluk Intan, S Manogaran.
April lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerbitkan
laporan mengenai sejumlah 40,000 masyarakat Tamil Sri Lanka dibunuh pada
2009 oleh kerajaan pimpinan Rajapaksa.
Rajapaksa antara lima pemimpin termasuk Najib yang dijadual berucap
pada forum anjuran Yayasan Forum Ekonomi Islam Sedunia di Johor Bahru 4
hingga 6 Desember ini.
Mengulas
lanjut, Raja Retinam mempersoal sikap berat sebelah kerajaan Umno BN
apabila menentang pembunuhan besar-besaran di negara lain tapi hanya
membisu dalam isu itu.
“Rajapaksa dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu jenis orang
sama. Jika kita kata tidak kepada Netanyahu, kita juga kena kata tidak
kepada Rajapaksa.
“Jadi Najib harus keluarkan kenyataan segera tentang isu ini. Saya
gesa wakil masyarakat India dari BN bawa usul membantah kehadiran
Rajapaksa. Saudara kita dari Pakatan sudah cuba tapi ditolak,” katanya.
Setiausaha Agung API S Gobi Krishnan berkata, kerajaan Umno sekali
lagi mengguris perasaan masyarakat India apabila membenarkan Rajapaksa
datang ke sini.
“Kami membantah sekeras-kerasnya kehadiran Rajapaksa. Kami akan
gunakan apa saja cara untuk sekat kemasukan beliau,” kata Setiausaha
Biro Polisi dan Antarabangsa KEADILAN itu.
Pada 27 November ini, API bercadang mengadakan perhimpunan di
Parlimen bagi menyerahkan memorandum bantahan agar kerajaan membatalkan
kehadiran Rajapaksa ke Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan