Oleh : LOPUNG |
SESAK!
Itulah suasana yang berlaku di Restoran Singgah Singgarung, Tuaran yang
menyaksikan sambutan Ambang Hari Malaysia yang diadakan oleh Pakatan
Rakyat. Pemeriksaan polis tidak mematahkan semangat penyokong-penyokong
Pakatan Rakyat untuk mendengar amanat daripada pemimpin tertinggi parti
tersebut.
Suasana meriah dan
dianggarkan seramai 10 ribu penyokong yang datang hadir ke majlis
tersebut. Ucapan yang berapi-api yang dimulakan oleh Pesuruhjaya PAS
Sabah; diikuti dengan ucapan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin; Datuk Seri
Panglima Wilfred Bumburing; Lim Guan Eng; Abdul Hadi Awang dan Anwar
Ibrahim, menyemarakan lagi semangat orang yang hadir dalam
memperjuangkan nasib mereka selepas ini.
Keadaan
di majlis itu begitu sesak dengan kehadiran penyokong semua parti dalam
Pakatan Rakyat yang hadir dalam majlis tesebut, termasuklah APS dan
PPS. Turut mencuri tumpuan, beberapa penyokong dari Kelantan yang
sanggup terbang ke Sabah semata-mata untuk menyokong program ini
berpakaian baju warna merah dan terdapat tulisan, tuntutan royalti
minyak serta dua orang penyokong tegar Pakatan Rakyat yang memakai baju
hitam yang ada bertulis turunkan harga kereta.
Mereka
mendakwa, baju itu dibeli melalui intenet terus kepada Rafizi. Kedua
jejaka tersebut juga mengatakan bahawa satu dialog untuk turunkan harga
kereta akan diadakan di Tuaran pada 18 dan diikuti 19 September di
Penampang.
Namun
sesuatu yang tidak diduga telah berlaku kerana belum pun sampai dua
minit Datuk Seri Wilfred Bumburing berucap, satu ribut kencang bertiup
dan diikuti oleh hujan renyai-renyai menyebabkan layar projektor
tercabut dan khemah pentas hampir terbang.
Di
Saat itu juga adalah waktu ketibaan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Adakah
ini satu rahmat baru atau malapetaka bagi Sabah? Adakah ini adalah aura
yang dibawa oleh Anwar ke Sabah yang bakal merubah nasib rakyat Sabah
yang inginkan perubahan dan memerlukan pembelaan agar sama taranya
dengan penduduk di Semenanjung Malaysia?
Atau
mungkin ini adalah alamat bagi Pakatan Rakyat bersama APS dan PPS
terkubur oleh ribut taufan yang melanda dan meranapkan semua benteng
pertahanan yang dibina dari tembok batu?
Di
mana SAPP? Di mana STAR? Tidak kelihatan satupun pemimpin mereka dalam
majlis itu. Adakah kedua parti Sabah ini tidak bersetuju dengan PR untuk
membela nasib rakyat?
Seandainya
kerjasama ini tidak terhasil, maka tragedi yang melanda pada tahun 2008
dalam PRU 12 bakal berulang kerana perpecahan undi telah berlaku dan
menyebabkan lebih kurang 9 kerusi ADUN terlepas begitu sahaja kerana
tiadanya kesepakatan daripada parti pembangkang ketika itu.
Mengikut
kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid sebelum ini bahawa
pembangunan dan kebajikan yang dilaksanakan di Negeri Selangor amat
memukau hati para penyokong PR. Rakyat Negeri Selangor telah
melakukannya pada 2008, 'Ini Kali Lah' Sabah perlu mengikuti langkah
rakyat Selangor, tambah beliau.
Lim
Guan Eng dalam ucapannya ada menyebut berhubung dengan kekayaan negeri
Sabah yang tidak setara dengan Semenanjung dan mengajak seluruh rakyat
Sabah untuk menyokong Pakatan Rakyat kerana parti ini berjanji, Sabah
akan diberi sama taraf dengan Semenanjung. Adakah ini menunjukkan
kekayaan Malaysia bakal dibahagikan 1/3 kepada Sabah?
Manakala
Tuan Guru Hadi Awang pula menyebut bahawa kekayaan Sabah tidak boleh
diambil seandainya Sabah masih memerlukannya. Lim Guan Eng menambah,
semua Menteri, Ketua Menteri, Adun, Ahli Parlimen dan Pegawai Daerah,
tidak boleh memiliki tanah kerajaan, sekiranya Pakatan Rakyat
memerintah.
Di
majlis berkenaan, hujan turun dengan lebat menyebabkan semua penyokong
lari lintang pukang masuk ke dalam khemah, tetapi yang menghairankan,
mereka tidak pula pulang meninggalkan kawasan berkenaan.
Sokongan
mereka terhadap parti amat kuat sehinggakan ribut melanda, hujan ribut
yang lebat, tidak mematahkan semangat rakyat tuaran untuk berubah. Namun
saat Anwar memberi ucapan, ramai di antara penyokong berdiri di hadapan
walaupun hujan turun renyai-renyai.
Semangat
tinggi untuk berubah kian meresap dalam jiwa mereka dan mereka sanggup
kehujanan sedangkan masih ada ruang di dalam khemah itu untuk berteduh
dan mendengar amanat dari Anwar. Adakah ini satu petanda bahawa PR pasti
menawan Putrajaya pada kali ini?
Kata
Anwar, Umno menjadi dalang utama perpecahan penyokong PR, sentiasa
mencari jalan bagaimana untuk memisahkan ikatan persaudaraan yang erat
di kalangan parti komponen Pakatan Rakyat sehingga dikatakan sebagai
dalang sebenar menghina Tarian Sumazau sebagai senjata utama mereka.
Manakala
Bumburing pula menjelaskan PR juga membidas tindakan tersebut kerana
yakin bukan dilakukan oleh PKR. Tetapi ageh aneh kerana di saat tarian
Sumazau itu ditarikan dan pengacara menjemput semua pemimpin naik ke
pentas untuk menari sebagai tanda menghormati dan menangkis tomahan
terhadap penyebaran artikel tersebut; mengapa pemimpin PR, Anwar
Ibrahim, Lim Guan Eng dan Tuan Guru Hadi Awang serta Azmin Ali tidak
bersama di pentas untuk menyatakan bahawa mereka menghormati tarian
berkenaan?
Mungkinkah
mereka malu ataukah mereka letih dengan perjalanan jauh ke Tuaran atau
mereka tidak tahu menarikan Tarian Sumazau? Mungkin mereka ada alasan
yang munasabah untuk itu dan kita tidak mengetahuinya.
Di
majlis berkenaan juga para pemimpin PR juga melahirkan rasa simpati
dengan pekerja dari Sabah yang ingin bekerja di Singapura kerana tidak
dibenarkan oleh republik itu. Lim Guan Eng dan Tan Sri Khalid telah
menyatakan hasrat dan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah
iaitu di Pulau Pinang dan Selangor.
Bunyinya
amat baik sekali namun bagaimanakah caranya? Adakah semua yang ingin
bekerja di dua negeri itu akan berjumpa dengan mereka untuk memohon
kerja atau mendapatkan sokongan daripada mereka untuk bekerja kerana
belum tentu syarikat-syarikat yang ada di sana, menerima mereka?
Namun
di sudut yang lain, memang peluang terbaik dalam jalinan kerjasama
antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung. Ia juga harus dijelaskan kerana
berita ini amat menggembirakan seluruh rakyat Sabah kerana diberi
peluang keemasan ini. Turut diulas, janji untuk menurunkan harga minyak
dan menaikkan royalti minyak 20 % kepada semua pengeluar minyak
Malaysia.
Tepukan
dan laungan takbir, tukar, lawan tetap lawan; termasuk "INI KALI LAH!"
dilaungkan oleh pemimpin PR dan mendapat respon daripada seluruh
penyokong PR yang hadir.
Namun
sedetik diminda, adakah penyokong STAR benar-benar berada di situ untuk
sama-sama menyokong PR atau penyokong STAR telah keluar parti dan
menyokong PR setelah Wilfred Bumburing menyokong PR?
Senario
politik ini sangat mengelirukan dan seandainya pati pembangkang ingin
berkuasa dan memerintah Putrajaya, harus ada persepakatan dalam
pembangkang kerana ia pasti mengundang padah andai tiada kerjasama
antara semua.
Sepanjang
acara bermula sehinggalah tamat, tiada apa kejadian buruk yang berlaku
atau unsur sabotaj yang berlaku. Tiada simbahan cat mahupun balingan
batu terhadap kenderaan yang dinaiki oleh pemimpin PR. DSAI memuji
rakyat Sabah kerana 'sporting' dalam hal ini dan seharusnya parti
politik di Semenanjung mencontohi rakyat Sabah, ujar beliau.
Persoalannya,
adakah rakyat Sabah atau kerajaan BN yang tidak mahu menggangu acara
ini dan bersifat terbuka dengan parti lawan? Apa pun keamanan harus
dikekalkan dan eratkan hubungan silaturahim, walaupun berbeza parti
politik yang disokong.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan