Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, jika jumlah AP yang dikeluarkan mencecah 70,000 setiap tahun seperti yang dianggarkan, negara dan rakyat kehilangan hasil sekitar RM3 bilion hingga RM3.5 bilion setiap tahun.
Katanya, Miti, menurut Timbalan Menterinya, Datuk Mukhriz Tun Mahathir, kini hanya mengenakan caj RM10,000 ke atas setiap AP apabila ia diagihkan kepada pihak-pihak tertentu tanpa melalui proses tender terbuka.
“Bagi setiap AP, negara dan rakyat rugi sehingga RM50,000 dan jumlah itu masuk poket pihak berkepentingan yang mengaut untung besar akibat dasar tidak telus Umno-Barisan Nasional (BN).
“Jumlah RM3 bilion hingga RM3.5 bilion ini adalah lebih tinggi berbanding anggaran yang dibuat PKR dalam menentukan sumber kewangan untuk menampung dasar menurunkan harga kereta melalui pemotongan cukai eksais secara berperingkat.
“Ia juga membuktikan kemampuan kewangan kerajaan untuk melaksanakan dasar ini, jika Umno-Barisan Nasional benar-benar serius mendengar desakan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam satu kenyataan baru-baru ini, Mukhriz dipetik berkata, strategi pembangkang ialah menggunakan isu-isu yang bersifat populis seperti hendak hapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), hapuskan tol dan turunkan harga kereta.
“Mereka tidak jelaskan dari mana datangnya duit malah ada pemimpin PKR mengatakan untuk mengumpul dana kerajaan, mereka akan jual AP kereta menggunakan kaedah opsyen.
“Seperti kita tahu, kalau guna kaedah itu, orang yang menawarkan harga tertinggilah yang akan menang. Jadi daripada anggaran kami setiap AP akan berharga RM50,000 hingga RM60,000. Kalau itu dilakukan, bagaimana nak turunkan harga kereta? Itu baru AP, belum kira lagi harga kereta tersebut," katanya.
Tambah Rafizi, beliau mengalu-alukan maklum balas pertama Mukhriz terhadap isu penurunan harga kereta memandangkan kementeriannya adalah antara pihak yang bertanggungjawab menggubal dasar automotif negara.
Dalam masa sama, ujar Rafizi, kenyataan Mukhriz juga menggambarkan beliau masih belum faham mekanisme yang boleh diguna pakai bagi menurunkan harga kereta kerana terlalu terbawa-bawa pandangan tauke dan pengedar kereta yang membuat untung berlebihan dari sistem AP sedia ada.
“Rungutan beliau, kononnya harga AP yang tinggi jika dilelong secara terbuka akan menyebabkan harga kereta bertambah tinggi membayangkan beliau mahu mempertahankan kadar keuntungan berlipat kali ganda yang kini dinikmati pihak-pihak berkepentingan ini.
“Menurut perkiraan beliau, bila kadar keuntungan ini dipertahankan, sebarang peningkatan kos kepada pengedar kereta akibat harga AP yang lebih tinggi perlu ditanggung oleh rakyat,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, PKR mengesyorkan pengedar-pengedar berkepentingan ini bersaing sesama mereka dengan mengurangkan kadar keuntungan demi mendapatkan pelanggan.
Jelas Rafizi lagi, apabila harga AP meningkat dan harga kereta mula turun, mereka tidak ada pilihan melainkan mengurangkan kadar keuntungan yang tidak berpatutan yang mereka nikmati selama ini.
Dalam perkembangan berkaitan, PKR turut mempelawa Mukhriz hadir ke Forum #turunhargakereta yang diadakan pada hari Khamis ini untuk mengetahui mekanisme parti itu untuk menurunkan harga kereta.
Forum itu akan bermula jam 8 malam di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor yang bakal menemukan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad, Ketua Eksekutif Institut Perhubungan Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan, Rafizi dan Nik Nazmi Nik Ahmad iaitu Pengarah Komunikasi PKR.
1 ulasan:
Perbincangan dengan pihak bank perlu dilakukan supaya bank tidak menaikkan interest melampau setelah harga kereta turun. Bank mampu berbuat demikian kerana kadar interest kereta ini tidak dikawal oleh bank negara..
Catat Ulasan