Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhamad Safwan Anang berkata, mereka membantah penerimaan pencalonan enam pelajar, dari kumpulan Pro-Aspirasi, atas alasan gagal mematuhi syarat pengajian.
“Syarat universiti mengatakan calon yang bertanding mesti mempunyai baki semester setahun penuh, tetapi Hal Ehwal Pelajar UM telah meluluskan enam calon yang tidak mempunyai baki semester yang mencukupi.
“Enam calon itu bakal menamatkan pengajian Jun atau Julai depan dan malangnya ketika perkara ini dibangkitkan, Hal Ehwal Pelajar menyatakan bahawa ini adalah tafsiran baru undang-undang UM,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Menurutnya, sejak pilihan raya kampus diadakan di UM, undang-undang yang diguna pakai tidak pernah berubah.
Perkara tersebut sudah dilaporkan kepada polis semalam.
Maklumat terbaru diperoleh dari laman web UM menunjukkan seramai 70 pelajar layak bertanding kali ini.
“Laporan dibuat supaya polis menyiasat penyalahgunaan kuasa oleh jawatankuasa pilihan raya kampus yang telah meluluskan calon-calon yang tidak cukup syarat,” jelasnya.
Safwan yang juga bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Malaysia UM berkata, proses bantahan Jumaat lalu yang sepatutnya berakhir jam 2 petang berlanjutan sehingga jam 9 malam.
“Kami dimaklumkan oleh Hal Ehwal Pelajar dan jawatankuasa pilihan raya kampus bahawa bantahan akan dijawab pada malam itu juga tetapi kemudiannya kami diberitahu, jawapan akan diumumkan keesokan pagi (semalam).
“Bagi mendapatkan penjelasan berkenaan bantahan itu, kami cuba mendapatkan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Datuk Dr Rohana Yusof namun gagal," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Edikoup Lakip Sediyanto mengesahkan perkara itu dan menegaskan pihaknya tidak teragak-agak untuk membawa perkara tersebut ke peringkat lebih tinggi.
“Kami akan bawa perkara ini ke mahkamah jika enam calon tersebut terus diterima oleh jawatankuasa pilihan raya," katanya.
Khamis lalu, UM mengadakan penamaan calon bagi pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2012/2013 dengan memperkenalkan sistem zon.
Sebanyak 43 kerusi dipertandingkan, sembilan daripadanya untuk kategori umum dan selebihnya peringkat fakulti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan