Khamis, 13 September 2012

Perkasa ramal PRU13 lepas raya Cina

KL TODAY

 

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali meramalkan perdana menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan pilihan raya umum (PRU) ke 13 selepas Tahun Baru Cina untuk memanfaatkan perayaan tersebut bagi memenangi kembali undi masyarakat cina kepada Barisan Nasional (BN).

Parti pemerintah hilang hampir semua undi dari masyarakat Cina pada PRU 2008 dengan parti Cina mereka seperti MCA dan Gerakan – kalah di kerusi parlimen dan dewan undangan negeri (DUN). 

Perkasa yang majoriti ahlinya terdiri dari ahli Umno, dilihat mencetuskan ketegangan apabila bersuara mengenai hak Melayu dan mendesak kerajaan agar memberikan lebih banyak peluang perniagaan kepada orang-orang Melayu.

Perkasa diserang kerana dikatakan tidak sensitif kepada budaya masyarakat Cina apabila memberikan angpow dalam sampul berwarna putih.

Sampul putih kebiasaannya digunakan untuk upacara pengebumian masyarakat Cina.

Ibrahim (gambar) walaubagaimanapun bertegas beliau benar-benar tidak tahu tentang budaya itu.

“Sekarang pulak, kerajaan Datuk Najib benar-benar fokus untuk memenangi undi masyarakat Cina, sudah tentulah perayaan Tahun Baru Cina boleh dimanfaatkan dengan pelbagai program seperti rumah terbuka dan sebagainya jadi dalam bulan dualah.

“Saya tetap dengan pandangan saya, ramalan saya bahawa pilihan raya akan diadakan selepas raya Cina, tahun 2013.

Menurut Ibrahim, PM tidak perlu tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya memandangkan belanjawan juga hanya akan dibentangkan pada 28 September.

“Pertama, tidak ada keperluan untuk Datuk Najib mengadakan pilihanraya tergesa-gesa pada bulan November.

“Kerana fokus dia terhadap beberapa perkara masih belum lagi selesai, contohnya bajet.

“Tentu bajet kali ini, dia nak bentang bukan sahaja yang bagus kerana pilihan raya nak datang, tetapi dia nak tengok jugak selepas dia bentang tu, ada kesempatan masa untuk rakyat merasai bahawa bajet itu betul-betul bagus.

“He need time after presented the budget (beliau perlu masa selepas membentangkan bajet),” kata Ibrahim dalam sebuah wawancara eksklusif kepada The Malaysian Insider Isnin lalu.

Presiden Perkasa itu juga mengatakan tak lojik pilihan raya diadakan November ini kerana umat Islam baru pulang mengerjakan haji, bulan peperiksaan bagi pelajar sekolah dan musim tengkujuh.

“Saya dengan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) ada kerja-kerja administratif yang belum selesai, perlukan lebih masa.

The Malaysian Insider melaporkan sebelum ini bahawa BN mensasarkan untuk mengadakan pilihan raya mengejut pada bulan November, 60 hari selepas Bajet 2013 dibentangkan, sejurus selepas Najib dalam satu majlis memberikan isyarat dengan mengulangi perkataan 11, yang mana merupakan nombor kegemarannya.

Menurut Ibrahim, PKR yang tergesa-gesa mahukan pilihan raya diadakan oleh kerana ketua umumnya tidak sabar untuk menjadi perdana menteri (PM).

Ibrahim aktif dalam politik Malaysia semenjak dari zaman mahasiswa pada tahun 1970an dan terlibat dalam banyak peristiwa besar politik negara seperti darurat di Kelantan pada tahun 1978, perpecahan Umno dan penubuhan Parti Melayu Semangat 46 pada pilihan raya 1990 dan pemecatan Anwar dari kabinet dan Umno pada tahun 1998.

Ibrahim ditahan dibawah akta keselamatan dalam negeri (ISA) pada tahun 1974 oleh kerana aktif dengan gerakan mahasiswa ketika memimpin Kesatuan Siswa Institut Teknologi Mara (KSITM) dan tinggal di Kem Tahanan Kamunting, dua tahun bersama ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang kini anti kepada Anwar berkata, “Tapi saya tak nampak langsung (Anwar jadi PM), sebab dia ni, kita ni tak boleh nak mengatasi ketentuan Allah.

“Tetapi oleh kerana dia ni pernah hampir jadi PM masa jadi timbalan Dr Mahathir (Tun) dulu, tak menjadi dan kena pecat dan macam-macam perkara berlaku, pada saya, kalau ikut lojik akal, peluang dia sudah terlepas.

“Dia tersingkir dahulu kerana ketentuan Allah yang mana, jawatan PM itu sudah dibibirnya, selepas itu dia terjatuh,” katanya lagi.

Pada pilihan raya 2008, Ibrahim Ali memenangi kerusi parlimen Pasir Mas dibawah tiket PAS.

Walaubagaimanapun tidak beberapa lama selepas itu, beliau mengisytiharkan dirinya sebagai ahli parlimen bebas dan menubuhkan NGO yang digelar Perkasa.

Perkasa aktif dalam memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan seringkali mengkritik Pakatan Rakyat (PR) – gabungan PKR, PAS dan DAP yang dikatakana menggugat kepentingan bangsa Melayu dan bumiputera sepertimana yang dijamin oleh perlembagaan persekutuan.

Kehadiran Perkasa tidak disenangi oleh sesetengah pihak terutamanya dari PR yang menggangap pertubuhan tersebut sebagai perkauman dan tidak menghormati Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

Tiada ulasan: