Ahad, 16 September 2012

Noh Omar Perlu Berhenti Cakap Kosong Dan Mengarut

DETIK DAILY
AMK Selangor hari ini ingin mempersoalkan motif kenyataan Datuk Seri Noh Omar yang kelihatan begitu terdesak mahukan pilihanraya di Selangor berlaku serentak dengan Pilihanraya Umum ke 13 dan kelihatan seperti tidak memahami isu mengapa Pakatan Rakyat memilih untuk membubarkan DUN berasingan dengan pilihanraya persekutuan.

AMK Selangor hairan dengan kegopohan Noh Omar itu dan ternyata beliau kelihatan tidak peduli dengan masalah senarai daftar pemilih yang meragukan serta tidak mempedulikan tuntutan rakyat yang mahukan sebuah pilihanraya yang bebas dan adil.Senarai daftar undi di Selangor ketika ini berada pada satu tahap menggusarkan apabila keraguan yang dicatat dan dilaporkan mencecah angka ratusan ribu daftar pengundi dan tiada tindakan komprehensif diambil oleh Suruhanjaya Pilihanraya.
Dakwaan Noh Omar bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor takut untuk menyerahkan mandat kepada rakyat itu amat lucu, kerana Kerajaan Selangor sedia ada masih mempunyai tempoh mandat yang sah untuk mentadbir Negeri Selangor. Justeru tidak timbul soal takut menyerahkan mandat seperti yang diwar-warkan dan kenyataan Noh Omar itu menunjukkan beliau seorang pemimpin kosong, yang tidak mengerti apa-apa dan hanya tahu bercakap.
 
TIADA APA YANG HENDAK DISELINDUNGKAN OLEH PAKATAN RAKYAT
Noh Omar juga dengan semberono mendakwa Kerajaan Negeri cuba berselindung disebalik isu-isu yang didakwa gagal ditangani seperti Talam Corporation, Unisel dan Loji Langat 2 namun sebagai Timbalan Perhubungan Umno Selangor, Noh Omar seakan tidak peka dan tidak mengambil peduli tentang usaha Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan masalah yang sebenarnya berpunca daripada kegagalan lapuk yang ditinggalkan oleh pentadbiran lama Barisan Nasional.
Noh Omar perlulah sekali-sekala menjengah maklumat terkini tentang isu-isu yang cuba mereka mainkan, dan tidak hanya bergantung kepada laporan-laporan akhbar. AMK Selangor menyeru supaya Noh Omar bertindak sebagai pemimpin yang bijak , bukan hanya mendapatkan maklumat dari pembantu politik beliau sahaja.
AMK Selangor percaya jika terdapat pihak yang cuba bermain tarik tali dengan tarikh pilihanraya adalah Barisan Nasional sendiri, yang terang-terangan takut untuk mengumumkan pilihanraya sebenar walaupun dengan bongkak menjaja slogan 'Janji Ditepati'. Sepatutnya Noh Omar berasa malu menjadi anggota kabinet sebuah kerajaan yang lemah serta sering bermain teka-teki dengan rakyat.
Ataupun Noh Omar ini lupa, rakyat Selangor khususnya masih menunggu beliau menjawab tentang isu National Feedlot Corporation (NFC) selaku Menteri Perindustrian Asas Tani dan juga Skandal Penternakkan Udang yang bernilai jutaan ringgit yang kerugiannya ditanggung oleh pengusaha. Maka perlulah Noh Omar dengan sedikit rasa hormat yang tinggal dalam dirinya, mendiamkan diri daripada terus mengeluarkan kenyataan-kenyataan dangkal dan tidak berisi.
AMK Selangor menyokong teguh pendirian Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Dato Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor , Tan Sri Dato Seri Abdul Khalid Ibrahim yang dengan tegas tidak mahu melaksanakan pilihanraya serentak selagi mana daftar pemilih masih kotor, meragukan dan mempunyai elemen-elemen kepentingan yang mahu memenangkan pemerintah zalim seperti Umno Barisan Nasional
AZMIZAM ZAMAN HURI
Ketua AMK Selangor
Naib Ketua AMK Malaysia

Tiada ulasan: