Ahad, 9 September 2012

Kit Siang: BN tidak hormati perjanjian 18 perkara tentang Sabah dan Sarawak


KUALA LUMPUR — Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menghormati perjanjian 18 perkara semasa Sabah dan Sarawak bersama Malaya membentuk Persekutuan Malaysia, kata penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Ahli parlimen Ipoh Timur itu berkata, dengan membiarkan dua negeri itu mundur, rasuah berleluasa, rampasan tanah adat (NCR) dan tidak menghormati Borneonisasi, jelas sekali perjanjian 18 perkara perlu dilihat semula oleh rakyat Sabah dan Sarawak.

Lim Kit Siang: Hasil Sabah dan Sarawak dirampas oleh pemimpin BN. — Foto fail
“Seperti saya melawat Sarawak selama empat hari, saya melihat infrastruktur di negeri tersebut masih lagi terbelakang, terutamanya jalan raya, paip air dan bekalan elektrik,” kata Lim dalam ucapannya di Bau, Sarawak, semalam.
 “Kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang kaya dengan hasil bumi, tetapi hasil itu dirampas oleh pemimpin BN, menyebabkan dua negeri ini ketinggalan dengan tiada bekalan air dan elektrik di beberapa bahagian di negeri ini.”

Selain itu, katanya, rampasan tanah adat, yang berlaku di beberapa kawasan di Sarawak, jelas sekali melanggar salah satu  perkara dari perjanjian 18.

“Oleh itu, saya bersetuju dengan kenyataan ahli parlimen Sibu dan ahli dewan undangan negeri Bukit Assek, Wong Ho Leng, yang berkata, sebagai negeri yang terbesar di Malaysia, tidak seharusnya rakyat di negeri sendiri tidak memiliki tanah.

“Tetapi itu hanya boleh dilakukan sekiranya kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang memerintah, bukan BN,” kata Lim.

Penasihat DAP itu berkata, walaupun menentang rasuah adalah salah satu dari enam teras dari Bidang Berkehasilan Utama Negara (NKRA), namun sejak tiga tahun kebelakangan ini rasuah makin berleluasa dan semakin buruk.

“Di Malaysia, Sarawak adalah negeri yang paling teruk berleluasa gejala rasuah,” katanya.

“Setakat ini, tidak ada tindakan susulan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ketua menteri, Tan Sri Taib Mahmud.”

Selain itu, kerajaan persekutuan juga tidak menghormati beberapa perjanjian lain yang melibatkan perkara-perkara Borneonisasi, terutamanya kenyataan Tun Dr Zaki Azmi yang berkata akan mengurangkan kuota untuk Dayak dan etnik lain dalam jawatan awam untuk keseimbangan antara kaum adalah kenyataan menghina etnik di Sarawak.

“Rakyat perlu melihat Zaki sebagai satu tanda bahawa kerajaan BN telah melupakan perjanjian 18 yang telah dipersetujui lima dekad yang lalu,” kata Lim.

“Tema hari kebangsaan ke 55, dan hari Malaysia ke 49 tahun ini adalah ‘Janji Ditepati’, tetapi masih banyak lagi janji-janji yang masih belum ditepati,” katanya lagi.

Sambutan hari Malaysia ke 49 tahun ini akan berlangsung di Bintulu, Sarawak, yang akan dihadiri oleh perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, serta menteri-menteri kabinet.

12 ulasan:

Unknown berkata...

Kita sedia maklum yang mana mengenai perjanjian 20 perkara itu pasti akan dilaksanakan. Tidak perlulah memutar belitkan cerita mengenai perkara ini.

Unknown berkata...

Apa pun yang pasti kerajaan akan melaksanakan perkara ini secara berperingkat. Seperti Borneosasi yang sekarang sedang dalam perlaksana secara perlahan-lahan.

Mumbai berkata...

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menghormati perjanjian 18 perkara semasa Sabah dan Sarawak bersama Malaya membentuk Persekutuan Malaysia"

kalau mahu buat serangan kepada BN pun, jangan la secara membuta tuli.. tahu ka LKS bahawa 18 perkara adalah untuk Sarawak, manakala Sabah 20 Perkara?? nampak sangat beliau pun tidak ambil tahu pasal Sabah..

Mumbai berkata...

"Ahli parlimen Ipoh Timur itu berkata, dengan membiarkan dua negeri itu mundur, rasuah berleluasa, rampasan tanah adat (NCR) dan tidak menghormati Borneonisasi,"

mana ada kerajaan membiarkan kedua2 negeri ini mundur.. Sabah dan sarawak adalah dua negeri terbesar dalam Malaysia.. malah Sabah saja cukup untuk membentuk 5 atau lebih buah negeri.. sudah tentulah pembangunan agak perlahan.. kalau Sabah hanya sebesar Pulau Pinang, kemajuan sabah hari ini pasti berlipat kali ganda dari Pulau Pinang..

Mumbai berkata...

berkenaan dengan rampasan tanah, isu itu boleh diselesaikan di mahkamah.. ramai penduduk kampung yang berjaya mendapatkan semula hak mereka.. berbanding dengan Pulau Pinang dimana kerajaan DAP merampas tanah kampung penduduk Melayu dan tidak pernah membawa kes itu ke mahkamah..

Mumbai berkata...

“Di Malaysia, Sarawak adalah negeri yang paling teruk berleluasa gejala rasuah,”

DAP dan Pakatan tidak ada rasuah sebab semuanya dihalalkan oleh Anugerah tuhan dan PAS sendiri.. entah macam mana boleh timbul isu penyelewengan tender rm600 juta di Kedah.. boleh LKS jawab?

mantera berkata...

Kita sudah banyak mendengar mengenai persefahaman 20 Perkara apabila Sabah dan Sarawak ingin menubuhkan Malaysia bersama Malaya.

mantera berkata...

ketiga – tiga negara ini bersetuju kepada beberapa perjanjian, yang dikenali sebagai persefahaman 20 Perkara Sabah dan 18 perkara bagi Sarawak yang memberikan Sabah dan Sarawak pemerintahan sendiri. Persefahaman 20 Perkara ini adalah asas kepada “jalinan dan melindungi hak” penduduk Sabah dan Sarawak.

mantera berkata...

perjanjian perkara 20 dan 18 haruslah dihormati dan ditepati.

Tanpa Nama berkata...

Belum tentu PR pun mampu hormat 20/18 Perkara

maxrian87 berkata...

Setelah berapa puluh tahun??? Setelah berpuluh puluh puluh puluh puluh tahun masih kelal so-called "perlahan lahan" "berperingkat peringkat" ????

maxrian87 berkata...

Pembangunan agak perlahan sebab negeri SS ni besar???? Lawak antarabangsa utk modal maharaja lawak mega... tahu pulak yg SS ni besar ye...habis tu (pegi check balik) kenapa setiap kali agihan peruntukan bajet pembangunan, negeri sekecil Perlis dpt peruntukan yg jauh lebih tinggi berbanding sabah yg sebesar alam semesta ni??? Otak beku