Ahad, 1 April 2012

PTPTN: Anwar nafi PR akan guna RM Petronas jika PR tawan Putrajaya

Post Pic

ANTARA POS.COM


SUBANG JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan Pakatan Rakyat (PR) akan menggunakan sumber wang dari Petronas untuk membiayai kos pendidikan jika pembangkang berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negara ini.

Beliau berkata sumber kewangan, jumlah wang dalam akaun terkumpul akan dianalisa terlebih dahulu sebelum disalurkan kepada pembiayaan sistem pendidikan.

"Dia bukan nak pindahkan dari Petronas bayar PTPTN, tidak... Sumber itu masuk kepada akaun yang disatukan dan kita kena buat senarai keutamaan tapi prinsipnya pendidikan harus percuma dari rendah hingga universiti, itu prinsipnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Dialog Profersional Muda di sebuah hotel Subang Jaya petang tadi

Dalam pada itu,ketika ditanya berkenaan dengan nasib pekerja Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), beliau menjawab bahawa pekerja PTPTN tidak akan diberhentikan tetapi akan diserapkan ke Kementerian Pendidikan Tinggi.

Beliau juga menekankan tentang prinsip Pendidikan Haruslah Percuma dari sekolah rendah hingga ke universiti, itu adalah merupakan faktor kepada pemansuhan PTPTN.

Menurutnya lagi, hak rakyat adalah untuk mendapatkan ilmu yang bermutu di negara ini.

Anwar juga berkata Bank Negara harus mengadakan perbincangan berkenaan dengan kadar bunga pinjaman PTPTN yang perlu dibayar oleh peminjam kerana tidak mahu ada rakyat yang tertindas dengan kadar faedah pinjaman.

Anwar, dalam ceramahnya di di Lukut, Negeri Sembilan, 22 Mac lalu berjanji memansuhkan PTPTN apabila PR berjaya menawan Putrajaya.

Janji beliau itu telah mendapat kritikan hangat daripada pelbagai pihak yang mendakwa ia bercanggah dengan janji-janji yang terkandung dalam Buku Jingga yang diwar-warkan oleh pembangkang.

Bagaimanapun, pembatalan itu, dakwa Anwar selaras dengan agenda Pakatan Rakyat untuk memberikan pendidikan percuma kepada rakyat seperti digariskan Buku Jingga.

Tiada ulasan: