Sabtu, 3 Mac 2012

Rasuah: Malaysia, India hadapi masalah sama- Anwar

KEADILAN DAILY

MANGALORE: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia dan India berkongsi masalah yang sama dari sudut kadar rasuah yang tinggi antara kedua negara itu.


Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Lapangan Terbang Mangalore, sempena kunjungan ke satu program di Puttur yang terletak 52 kilometer dari Mangalore.

“Malaysia dan India menghadapi masalah yang sama, dan saya memang sering berkunjung ke sini untuk bertukar pandangan dan mencari penyelesaian kepada kejahatan ini.

“Pada bulan lepas, saya bertemu dengan Rajmohan Ghandi, cucu kepada Mahatma Ghandi, untuk membincangkan masalah ini,” kata Anwar seperti dilapor portal berita India, daijiworld.com.

Menurut Ketua Pembangkang itu lagi, di Malaysia keadaan itu lebih parah apabila media tidak bebas dan dikawal kerajaan.

“Media berada di bawah pemerintah, maka suara kami jarang didengar.

“Kami harus memanfaatkan media seperti laman sosial dan pelbagai cara lain supaya dapat sampai kepada rakyat. Tanpa lelah, saya meperjuangkan hak kebebasan media dan akan terus memperjuangkannya,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh pertuduhan liwat ke atasnya, yang mana mahkamah pada Januari lepas memutuskan beliau tidak bersalah.

“Tuduhan itu bermotif politik, dan antara puncanya ialah media kerajaan yang tidak adil, hanya kerana saya berada di pihak pembangkang,” jelas beliau lagi.

Tiada ulasan: