Sabtu, 3 Mac 2012

Banjir Enam Tahun Taman Buana Bakal Diselesaikan

MEDIA SELANGORKU


PETALING JAYA : Penduduk Taman Buana Perdana di sini boleh menarik nafas lega apabila masalah banjir kilat yang mereka hadapi selama enam tahun bakal diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

Menurut ADUN Taman Medan, Haniza Talha, masalah itu berpunca daripada sikap pemaju yang dilantik oleh kerajaan Umno-BN sebelum ini bagi pembinaan kawasan perumahan itu.

Bagaimanapun sistem perparitan yang sesuai tidak disediakan pemaju menyebabkan banjir berlaku setiap kali hujan. Walaupun penduduk sering kali mengemukan aduan, masalah itu berlarutan tahun demi tahun.

Banjir setinggi paras lutut yang berlaku di laluan utama penduduk taman termasuk Taman Datuk Harun menenggelamkan jalan raya dan menyukarkan pengguna.

Malah lebih teruk lagi, banjir di kawasan bekas lombong terbabit turut menenggelamkan taman permainan, trek jogging dan padang badminton yang menjadi tempat kanak-kanak dan belia melakukan aktiviti sukan dan rekreasi.

Penduduk mendakwa pemaju juga mengabaikan penyelenggaraan kemudahan asas dan ini merungsingkan penduduk, kerana banyak lampu jalan yang sudah pecah menyebabkan keadaan laluan gelap dan berlakunya banyak kejadian ragut.

Penduduk, S.Murti, 43, berkata banjir kilat sering berlaku apabila hujan berterusan menyebabkan penduduk banyak merungut.

“Tidak sampai setengah jam, air mesti naik, saliran air pula tidak bergerak, pemaju seolah-olah tidak ambil kisah dengan masalah ini,” katanya ketika ditemui.

Penduduk lain, S.Acama, 65, berkata masalah daripada banjir kilat dan taman permainan yang sering ditakungi air itu boleh menyebabkan penduduk mengalami demam denggi.

“Kawasan ini banyak nyamuk, semua berpunca daripada air yang bertakung dan sampah sarap yang banyak dikawasan ini.

“Pemaju hanya tahu memeras kami, tetapi tidak menyediakan kemudahan yang baik dan selamat kepada kami,” katanya.

Sementara itu, Haniza berkata beliau sudah berbincang dengan MajlisBandaraya Petaling jaya (MPBJ) untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap pemaju itu.

“Kita akan selesaikan dalam masa terdekat ini, kita akan memanggil semua yang terlibat termasuk Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan.

“Tanah itu milik persendirian, belum diwartakan kepada MBPJ, bagaimanapun sebagai ADUN, saya akan menyelesaikannya secepat mungkin,” katanya.

Tiada ulasan: