Rabu, 28 Mac 2012

MTUC himpun 13 April gesa campur tangan PM

Wartawan Sinar Harian

mtuc logo
SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan mengadakan Himpunan Pekerja di pekarangan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya, 13 April ini bagi menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak campur tangan menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan pekerja termasuk menarik balik Akta Kerja yang dipinda akhir tahun lalu.

Sebelum ini, badan induk kesatuan sekerja itu bercadang mengadakan Himpunan Pekerja, yang bertujuan memperlihatkan tanda protes, di hadapan Kementerian Sumber Manusia.

Bagaimanapun badan induk kesatuan sekerja itu semalam memutuskan untuk beralih lokasi bagi menekankan keseriusan tuntutan pihaknya.

"Sebelum ini memang kami bercadang untuk mengadakan Himpunan Pekerja dekat Kementerian Sumber Manusia, tetapi oleh kerana MTUC sudah mengatakan sudah lagi percaya dengan kepimpinan Menteri Sumber Manusia, kami memutuskan untuk mengadakan Himpunan Pekerja di kawasan JPM, bulan depan," kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak MTUC, yang dipengerusikan oleh Awang Ibrahim.

Jawatankuasa itu memutuskan demikian pada mesyuaratnya semalam.

Awang yang juga Setiausaha Kewangan MTUC berkata, keputusan jawatankuasa itu selari dengan pendirian badan induk kesatuan sekerja itu yang diputuskan awal tahun ini.

"Kami sudah diberikan mandat untuk mengambil tindakan-tindakan yang sesuai berkenaan dengan isu pindaan Akta Kerja yang menyediakan peruntukan penggunaan pekerja kontrak," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Awang, yang juga Setiausaha Kewangan MTUC berkata, Himpunan Pekerja itu selaras dengan ketetapan sudah hilang keyakinan dengan kepimpinan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subarmaniam, yang dicapai oleh badan induk kesatuan sekerja itu dua minggu lalu, berikutan siri isu berkaitan dengan penubuhan kesatuan sekerja dalaman di beberapa syarikat berkaitan kerajaan dan pindaan Akta Kerja yang diluluskan Parlimen tahun lalu.

Awang berkata perhimpunan itu, yang akan disertai oleh ahli dan penyokong MTUC dari seluruh negara, akan diadakan jam 3 petang.

"Kami akan meminta Setiausaha Agung dan Presiden MTUC agar memaklumkan kepada semua kesatuan gabungan menyertai Himpunan Pekerja ini," kata beliau lagi.

Bulan lalu, Presiden MTUC Khalid Atan memberitahu Sinar Harian bahawa pihaknya mengambil pendirian hilang kepercayaan ke atas kepimpinan Dr Subramaniam sebagai Menteri Sumber Manusia berikutan sikap beliau yang didakwa tidak menunjukkan keseriusan dalam menyelesaikan beberapa perkara berkaitan dengan pekerja-pekerja negara ini.

Dua isu yang diprotes MTUC dan menggesa penyelesaian Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S. Subramaniam ialah peruntukan tenaga kerja kontrak dan juga penubuhan kesatuan-kesatuan dalaman di organisasi yang sudah ada kesatuan peringkat kebangsaan.

Tiada ulasan: