Isnin, 26 Mac 2012

Mahkamah tetapkan 11 hingga 15 Jun bicara kes Mat Sabu

AGENDA DAILY

mat-sabun


Mahkamah Sesyen di Butterworth Isnin menetapkan 11 hingga 15 Jun depan perbicaraan kes Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu, yang didakwa membuat tohmahan memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam ceramahnya, Ogos tahun lepas.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin menetapkan tarikh itu kerana menunggu keputusan kes itu di Mahkamah Rayuan. Bagaimanapun Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai 'Mat Sabu' tidak hadir, dan diwakili peguam belanya Amirul Fairuzzeen Jamaluddin.

Bernama melaporkan beliau didakwa memfitnah anggota polis berkenaan dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, dengan mengetahui bahawa tohmahan yang dibuat akan merosakkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dalam ucapan kepada orang ramai pada 10 malam hingga 12 tengah malam, di hadapan Pusat Asuhan Tadika Islam Al-Fahmi, Markas Tarbiyah Pas, Padang Menora, Tasek Gelugor, pada 23 Ogos tahun lepas.

Pada 21 September tahun lalu, Mat Sabu dari Guar Petai, Tasek Gelugor, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Butterworth dan meminta dibicarakan.

Tiada ulasan: