Ahad, 4 Mac 2012

Kickdefella kali kedua mohon tukar hakim

Harakahdaily,


KOTA BHARU: Blogger, Syed Azidi Syed Abdul Aziz sekali lagi membuat permohonan di Mahkamah Tinggi di sini, supaya hakim yang mengendalikan kesnya menarik diri daripada mendengar kes tersebut.

Sebelum ini, Hakim Azman Abdullah menarik diri daripada mendengar kes berkenaan juga dibuat atas permohonan Syed Azidi yang lebih dikenali sebagai Kickdefella.

Pada prosiding hari ini sepatutnya peguam Syed Azidi dan peguam Datuk Husam Musa berhujah ekoran permohonan Kickdefella mahu memindahkan kes tersebut ke Kuala Lumpur.

Permohonan tersebut kemudian dibantah peguam Hisham Fauzi yang mewakili Husam. Kes berkenaan dibicarakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Pada 19 September lalu Husam memfailkan saman terhadap Syed Azidi dengan tuntutan ganti rugi sebanyak RM5 juta ekoran penyiaran artikel yang ditulis defendan berunsur fitnah terhadap plaintif.

Rencana tersebut bertajuk 'Husam telah menipu rakyat dan sahabat’ diterbit pada 27 Januari 2011, kedua, ‘Sebelum kita lupa Normala Sudirman’ (3 Februari 2011) dan artikel ‘Husam itu pembohong’ (3 Julai 2011).

Pada writ saman juga Husam menuntut Syed Azizi memohon maaf secara bertulis tanpa syarat, memadam rencana terbabit dalam laman blog defendan dan mengiklankan permohonan maaf dalam akhbar nasional harian bahasa Melayu.

Hakim Ahmad Zaidi kemudian menangguhkan kes kepada 17 April hadapan untuk membolehkan beliau membuat rujukan kepada Hakim Besar Malaya berkaitan isu berkenaan.

Hisham berkata, hujahan tersebut terpaksa ditangguhkan sehingga isu berkaitan penarikan diri hakim diselesaikan terlebih dahulu.

“Jika kes ini tidak didengar di hadapan mana-mana dua hakim Mahkamah Tinggi di sini, maka hakim dari negeri lain terpaksa dibawa untuk mendengar kes tersebut,” katanya di sini.

Pada prosiding berkenaan Hisham turut dibantu peguam Zainal Abidin Mustapha, manakala Kickdefella diwakili peguam Datuk Firuz Hussein Jamaludin dan Nur Natasya.

Sementara itu pengurusan kes anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah menyaman Pengerusi MCA Kelantan, Datuk Seri Ng Yen Yen akan diadakan pada 1 April depan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Prosiding kes itu hari ini ditangguhkan bagi membolehkan peguam defendan memfailkan pernyataan pembelaan.

Anuar Tan diwakili peguam Hisham Fauzi dari Tetuan Hisham Fauzi & Associates manakala Ng Yen Yen diwakili Peguam Tara Singh dari Tetuan D.S. Tara & Co.

Tiada ulasan: