Isnin, 26 Mac 2012

Kadir akui dilamar pemimpin Pakatan

Post Pic

ANTARA POS.COM


SERI KEMBANGAN : Bekas pemimpin veteran Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir hari ini, mengakui memang ada dilamar oleh pemimpin tertentu untuk menyertai Pakatan Rakyat tetapi katanya belum ada keputusan muktamad yang dibuatnya.

"Saya tidak mahu sebut begitu (sertai pembangkang) tapi ramai pemimpin dari Pakatan yang memujuk saya untuk masuk politik. (Tapi) saya akan buat keputusan sendiri. Apa yang lebih penting adalah memperjuangkan isu-isu yang tidak kena.

"Saya akan buat keputusan, tapi bukan (masuk) kerana pujukan," katanya pada satu sidang media di pejabatnya, di sini hari ini.

Menurutnya, buat masa ini beliau akan menerima tawaran daripada mana-mana NGO yang menawarkannya mengadakan ceramah-ceramah politik yang sebelum ini tidak dapat dilakukannya kerana terikat dengan parti.

"Ada jemputan NGO untuk memberi ceramah tentang pelbagai isu, saya akan terima. Apabila berhenti saya bebas sikit, saya hanya terima jemputan NGO," katanya yang keluar daripada Umno pada 19 Mac lalu.

Walaupun sudah meletakkan jawatan dalam Umno, pemimpin veteran itu mendakwa beliau masih berpegang teguh kepada perjuangan asal parti itu.

"Saya isytiharkan berhenti dan bersara (dari Umno) dan akan membawa perjuangan Umno yang mulia itu ke tempat yang lebih sesuai.

"Buat sementara saya dan Amanah akan memperjuangkan Umno yang lama terlebih dahulu," katanya yang juga Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah).

Sebelum ini, pelbagai pihak membidas tindakan Abdul Kadir yang meletak jawatan sebagai anggota Umno "seumpama kacang lupakan kulit".

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata bekas Menteri Penerangan itu tidak mengenang jasa terhadap parti yang disertainya selama ini sehingga memegang pelbagai jawatan termasuk Anggota Majlis Tertinggi Umno, Timbalan Menteri dan Menteri.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan pula menyifatkan keputusan Abdul Kadir keluar parti sebagai keputusan silap kerana ia dibuat ketika BN mendapat sokongan menggalakkan daripada rakyat teramai.

Abdul Kadir sejak kebelakangan ini sering mengeluarkan kenyataan yang membidas Umno, termasuk dakwaan BN membeli undi dan tiada kebebasan bersuara dalam parti itu.

17 Mac lalu, Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Lembaga Disiplin Umno sedang mengumpul maklumat dan bukti berhubung dakwaan Abdul Kadir dan akan bertindak ke atasnya.Bagaimanapun dua hari kemudiannya, beliau mengambil keputusan meninggalkan parti itu.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam mengesahkan parti itu telah menerima surat peletakan jawatan Abdul Kadir.

Beliau berkata, pihaknya menerima surat itu melalui e-mel dan faksimili pada hari yang sama Abdul Kadir membuat kenyataan untuk menarik diri daripada Umno.

"Kami telah menerima surat itu dan pihak pengurusan pun dah terima (peletakan jawatannya)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Mesyuarat Agung Tahunan 2012 Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru Malaysia (Perinnbam) semalam.

Bagaimanapun, Tengku Adnan enggan mengulas lanjut mengenai surat itu.

Tiada ulasan: