Isnin, 26 Mac 2012

Hasan Persoal Dana RM300 Juta 'Geran Selangorku'

Post Pic

ANTARA POS.COM


SHAH ALAM : Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas, Datuk Dr Hassan Ali hari ini mempersoalkan berhubung dana RM300 juta di bawah 'Geran Selangorku' yang dakwa beliau tidak direkodkan dalam akaun Menteri Besar Incorporated (MBI) seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

Hasan ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini berkata, hal ini menimbulkan keraguan dari segi bagaimana program-program di bawah geran itu dilaksanakan sekiranya dana tersebut tidak diletakkan di bawah akaun MBI.

"Pada Bajet Selangor 2012, Yang Berhormat Ijok (Abdul Khalid) mengisytiharkan 'Geran Selangorku' dengan peruntukan sebanyak RM300 juta di bawah bajet berkenaan.

"Namun, saya difahamkan peruntukan tersebut tidak ada dalam akaun MBI. Dengan peruntukan sedemikian yang tidak ada dalam akaun (MBI), bagaimana kerajaan negeri mahu mengadakan program-program di bawah 'Geran Selangorku'," soal Hasan.

Khalid bagaimanapun tidak menjawab secara secara terperinci berhubung soalan yang diajukan oleh Hasan sebaliknya hanya berkata, program di bawah 'Geran Selangorku' itu telah dimaklumkan kepada exco-exco kerajaan negeri dalam satu 'retreat' (pemukiman) di Melaka, Februari lalu.

"Saya telah terangkan pada rakan-rakan exco mengenai bagaimana kita perolehi jumlah wang itu. Sebenarnya juga, kita ada lebih sedikit dari RM400 juta tapi kita hanya sebut RM300 juta sebab lebih banyak wang, lebih banyak permintaan.

"Kalau ada kelapangan, saya jemput ADUN-ADUN untuk mendengar taklimat mengenai program Selangorku," ujar Khalid.

'Geran Selangorku' diumumkan Khalid ketika membentangkan Bajet Selangor 2012 November tahun lalu.

Menurut beliau, tanggungjawab itu diserahkan kepada MBI memandangkan pengurusannya adalah bersepadu dengan pentadbiran kerajaan negeri.

Antara program yang dikatakan akan dilaksanakan melalui Geran Selangorku adalah pengenalan gaji minima, program memperkasakan wanita, program keusahawanan muda, pembinaan infrastruktur sukan, program sokongan pendidikan, program dari kebajikan kepada pekerjaan dan program jangkaan kehidupan bandar.

Dana untuk Geran Selangorku adalah berasaskan kepada sumbangan dividen daripada syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) Selangor dan keuntungan yang diperoleh MBI, hasil daripada kutipan ke atas hutan Talam Corporation Sdn Bhd.

Untuk rekod, Talam Corporation berhutang sebanyak RM391 juta dengan anak syarikat kerajaan negeri namun sehingga kini difahamkan, tidak sampai separuh daripada jumlah hutang itu berjaya dipungut oleh kerajaan negeri.

Tiada ulasan: