Salman Hussin |
JOHOR BAHRU: PAS Johor menuntut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin memberi penjelasan berhubung isu pemindahan tapak kampus Universiti Teknologi Marang (UiTM) dari lokasi asal di Ladang Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) ke Seri Alam Pasir Gudang yang menimbulkan bantahan pelbagai pihak, baru-baru ini. Pemindahan lokasi itu juga dibimbangi mempunyai unsur-unsur penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa, justeru PAS negeri meminta polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dengan segera. Demikian antara kandungan laporan polis dibuat PAS Johor berhubung isu pemindahan lokasi kampus UiTM yang diumumkan menteri berkaitan pada Mesyuarat Agung Perwakilan Umno Bahagian Pasir Gudang, 27 Jun lalu. Selain itu, pemimpin-pemimpin Umno Bahagian Tenggara termasuk anggota parlimennya, Datuk Halimah Sadique, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Raja, Dr Adham Baba serta Adun Panti, Datuk Baderi Dasuki, didesak agar bangkit mempertahankan hak rakyat yang wakili jikia mereka benar-benar membela kepentingan rakyat. Khaled yang juga Anggota Parlimen Pasir Gudang, memberi alasan kononnya kos pembinaan kampus UiTM akan menelan belanja yang besar jika dilakukan di tapak asal. Alasan itu bagaimanapun disanggah Ketua Pemuda Umno Bahagian Tenggara, Abd Halim Abd Jalil, yang menyifatkannya tidak munasabah sambil membantah tindakan memindahkan lokasi kampus UiTM ke tempat baru. Ketua Penerangan PAS negeri, Mazlan Aliman (gambar) ketika ditemui selepas mengiringi timbalanya, Onn Jaafar, membuat laporan di Balai Polis Skudai, dekat sini, kelmarin berkata, sehingga hari ini pemimpin-pemimpin Umno Bahagian Tenggara masih belum membuat sebarang kenyataan berhubung perkara itu. “Mereka sepatutnya lebih awal membantah tindakan memindahkan lokasi UiTM ini sekiranya mereka benar-benar mempertahankan hak rakyat di kawasan yang mereka wakili,” ujarnya. Sebaliknya menurut Mazlan, hanya ketua pemuda Umno bahagian tersebut, Abd Halim Abd Jalil, bersama 25 NGO telah bangkit membantah tindakan itu dengan mengadakan demonstrasi aman baru-baru ini. “Kita hairan kenapa pemimpin-pemimpin lain di Tenggara masih mendiamkan diri tanpa membuat sebarang penjelasan secara terbuka sedangkan mereka mewakili kepentingan rakyat di kawasan tersebut,” katanya. Menurutnya, bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamad telah mengumumkan pembinaan UiTM di tapak tersebut pada 2007, difahamkan UiTM sudah menjelaskan wang premium kepada YPJ untuk tapak yang dianggarkan seluas 500 ekar tahun lepas. “Bagaimana pun kita tidak pasti berapa jumlah wang premium ini, namun kita menganggarkan jumlahnya tentulah banyak. “Pembatalan tapak asal ini menimbulkan berbagai spekulasi lebih-lebih lagi apabila wang premium sudah pun dijelaskan, selain itu timbul juga persoalan kenapa pemindahan lokasi dibuat hanya setelah wang premium dibayar sedangkan kajian terperinci tentunya sudah dilakukan sebelum cadangan pembinaan ini diputuskan. “Oleh kerana itu kita meminta polis dan SPRM menyiasat perkara ini kerana kita tidak menolak kemungkinan berlaku amalan tidak sihat dalam projek ini, sama ada penyelewengan yang membabitkan kepentingan peribadi pemimpin tertentu atau pun kepentingan-kepentingan lainya,” tegas Mazlan lagi. |
Jumaat, 16 Julai 2010
PAS minta Khaled jelaskan pindah kampus UiTM
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan